HomeBM6 Stereotaip Pemilik Kereta Yang Popular di Malaysia

6 Stereotaip Pemilik Kereta Yang Popular di Malaysia

Pernah tak dengar ayat macam ni bila nak beli kereta, “Eh, jangan beli Ford Mustang, geng MLM je yang pakai kereta tu”. Mesti pernah kan. Sebenarnya, ada banyak stereotaip pemilik kereta yang macam ni dalam kalangan masyarakat kita. 

Tak hairanlah, dengan adanya pelbagai jenis kereta yang dijual di negara kita, ragam pemilik kereta yang serba macam di Malaysia, dan juga pendapat masyarakat yang sukar untuk dikawal tidak dapat menghalang stereotaip begini daripada dihasilkan.

asian man with sunglasses show thumbs up in car

Di sini kami senaraikan lima stereotaip pemilik kereta yang popular dalam kalangan rakyat Malaysia.

Ford Mustang – Pilihan Geng MLM dan Kripto

Di Amerika, Ford Mustang bukan setakat kereta muscle yang berkuasa tinggi, malah ia adalah kereta ikonik yang jadi idaman para peminat automotif di sana kerana ia begitu simbolik dengan gaya hidup mereka.

red mustang
Sumber: Ford.com

Tetapi lain pula di Malaysia. Ford Mustang di sini pula kebanyakannya dimiliki oleh geng-geng ejen Multilevel Marketing (MLM) atau pedagang mata wang kripto yang ingin menawan hati orang sekeliling mereka agar turut serta dalam perniagaan dan juga skim yang mereka tawarkan.

Maklumlah, kalau pakai kereta berjenama luar negara baru nampak gah. Selain menarik perhatian, persepsi orang lain juga lebih mudah dipengaruhi dengan kereta mewah yang boleh dijadikan simbol status, kejayaan, dan juga kekayaan, macam Ford Mustang.

BMW – Ikon Ejen Insurans

Tanyalah sesiapa yang pernah berurusan dengan ejen insurans, kereta apa yang ejen mereka selalu bawa. Rata-rata jawapan yang akan anda terima mesti sama ada sebuah BMW atau kereta mewah lain yang setara dengannya.

Salah satu sebab mengapa kereta mewah dan berprestij seperti BMW menjadi pilihan mereka adalah untuk memberi inspirasi kepada rakan-rakan sekerja dan untuk membangkitkan keyakinan dalam kalangan pelanggan untuk memilih mereka sebagai ejen.

Tambahan pula, BMW adalah sebuah jenama yang dikenali ramai dan sering dikaitkan dengan kereta yang moden, bergaya, dan berkuasa. Contohnya seperti BMW 330i M Sport 2.0 yang dikuasakan oleh enjin turbo 2.0-liter empat silinder yang mampu menghasilkan sehingga 258 kuasa kuda dan disertakan dengan sistem suspensi M Sport yang memberi pengalaman memandu yang lancar dan selesa.

Toyota Vellfire & Toyota Alphard – Pengasas Produk Kesihatan atau Kecantikan

Bila cakap tentang stereotaip kereta, kita memang tak boleh lari daripada menyentuh mengenai Toyota Vellfire dan Toyota Alphard yang sekarang ni sangat popular dalam kalangan pengasas produk kesihatan atau kecantikan.

Sebut sahaja nama mana-mana pengasas produk, anda mesti pernah lihat mereka menaiki atau memandu Toyota Alphard atau Toyota Vellfire. Selain daripada kelihatan eksklusif dan mewah, mereka menggemari model-model ini kerana ia menawarkan pemanduan yang lancar dan senyap dengan enjinnya yang berkuasa dan bahagian kabin dan tempat duduk penumpang yang luas dan sangat-sangat selesa – bagaikan duduk di kabin kelas pertama dalam penerbangan yang mahal!

Toyota Avanza & Toyota Unser – Popular Dalam Kalangan Ustaz & Ustazah

Bagi mereka yang lahir tahun 90-an, ingat lagi tak ustaz dengan ustazah masa zaman sekolah dulu bawa kereta apa? Mesti ramai yang akan jawab Toyota Avanza dan juga Toyota Unser. Memang tak dinafikan yang kedua-dua model kereta ni adalah pilihan utama para ustaz dan ustazah ketika itu.

Dari luar, Toyota Avanza dan Toyota Unser mungkin kelihatan kecil, tapi ruang dalamannya memang besar dengan ruangan kaki yang selesa untuk setiap penumpang. Enjin pula, walaupun tidak berapa laju, tapi ia mampu menjamin pemanduan yang selesa walaupun dengan tujuh penumpang.

Mungkin model ni jadi pilihan sebab ustaz dan ustazah kita selalu kena bawa anak-anak murid yang menyertai kumpulan nasyid atau kompang pergi pertandingan atau buat persembahan di luar kawasan sekolah.

Perodua Myvi – Raja Jalan Raya

Satu Malaysia tahu yang Perodua Myvi ni memang banyak terlibat dalam aksi-aksi bahaya, pelik, dan luar biasa di jalan raya. Ini menyebabkan orang ramai menganggap ia sebagai kereta yang terpaling raja dan terpaling laju, sampai kereta lain yang lagi besar pun kena beri laluan kepadanya.

via Gfycat

Tetapi, tak dinafikan bahawa Perodua Myvi adalah antara kereta tempatan yang paling boleh diharap dalam kelasnya. Harganya yang mampu milik, kos penyelenggaraan yang rendah dan penjagaan yang mudah menjadikan Perodua Myvi antara kereta yang paling laris dijual di Malaysia untuk bertahun-tahun. Sebab inilah ia memang layak diberi gelaran ‘King of the Road’ di Malaysia!

Honda Civic Ketam – Geng JDM Baru Nak Up

Bila bercakap tentang kaki kereta, mesti akan timbul nama Japan Domestic Market atau JDM. Untuk yang tak tahu, JDM merujuk kepada kereta yang hanya dihasilkan untuk pasaran Jepun dan ia juga adalah salah satu cabang budaya kereta yang sudah lama menempa nama di Malaysia.

Selalunya mereka yang ingin menjadi sebahagian daripada budaya ini akan berusaha untuk dapatkan kereta yang hanya dikeluarkan untuk pasaran Jepun seperti Honda Civic, Toyota Supra, Subaru Impreza WRX, dan lain-lain.

Tetapi, dengan kebanjiran model kereta daripada jenama Jepun yang dikeluarkan khas untuk pasaran Malaysia sekarang, ramai yang memilih untuk mendapatkan kereta yang lebih moden seperti Honda Civic Type R keluaran tahun 2017. Model ini juga dikenali ramai sebagai Honda ketam kerana bentuk lampu belakangnya yang unik, yang kelihatan seakan-akan sepit ketam.

Ia menjadi kegilaan para penggemar JDM kerana bentuknya yang sangat sporty, rekaan yang amat garang, dan dikuasakan dengan enjin yang sangat berkuasa, iaitu enjin K20C1 2.0-liter empat silinder VTEC Turbo yang mampu menghasilkan sehingga 310 kuasa kuda! Laju tu!

Ini adalah antara stereotaip mengenai pemilik kereta yang popular dalam kalangan rakyat Malaysia. Walaupun begitu, tak bermakna semua pemilik kereta akan menunjukkan sikap yang sama walaupun mereka memiliki kereta yang kami senaraikan di atas. Maklumlah, rambut sama hitam, tapi hati lain-lain.

Kalau nak pilih kereta, tak perlu fikir terlalu banyak mengenai stereotaip yang ada. Cukup sekadar anda pilih kereta yang sesuai untuk kegunaaan harian anda dan mengikut bajet yang anda ada. Lagipun, anda yang akan pandu kereta tersebut, jadi tak perlulah risau tentang apa yang orang lain akan fikir.

Yang penting, sebagai seorang pemandu anda harus sentiasa mematuhi peraturan jalan raya dan anda juga perlu menghormati pengguna jalan raya yang lain. Ada lagi stereotaip yang kami tak senaraikan? Kalau ada, kongsi dengan kami dalam ruangan komen di bawah.

Artikel ini adalah berdasarkan olahan idea, pandangan, dan hasil kajian penulis dan tidak semestinya mewakili CARSOME.

Haziq Asyraf
Haziq Asyraf
A self-proclaimed foodie and gamer whose passion for food and games has recently extended to cars.
RELATED ARTICLES
- Advertisment -

Most Popular