HomeBMTak Puas Hati Dengan Keadaan Jalan Malaysia? Ini Caranya Untuk Anda Melaporkan...

Tak Puas Hati Dengan Keadaan Jalan Malaysia? Ini Caranya Untuk Anda Melaporkan Kerosakan Jalan Berlubang

Tiada yang lebih membahagiakan pemandu daripada dapat menikmati pemanduan yang lancar tanpa perlu risaukan apa-apa melainkan had laju sahaja. 

Tetapi malangnya, jalan berlubang telah banyak ada pada jalan di Malaysia dan meresahkan pengguna jalan raya kerana bahaya yang boleh ia sebabkan kepada mereka. 

pothole

Kalau anda nak tahu, ini kesannya jika anda melanggar lubang pada jalan dan cara untuk anda melaporkan kerosakan jalan berlubang jika anda terjumpa semasa memandu. 

Bahaya Melanggar Lubang Jalan 

Tayar Jadi Rosak dan Pancit

Tayar menghubungkan kereta kepada jalan, jadi ia merupakan komponen pertama yang akan menerima kesan jika kereta terlanggar lubang jalan. Kesannya boleh merosakkan, menjejaskan, atau melemahkan tayar kereta seterusnya menyebabkan tayar meletup atau pancit apabila anda memandu jauh. 

Jikalau anda terlanggar lubang jalan, adalah lebih baik untuk anda berhenti di tempat yang selamat untuk anda periksa tayar kereta jika ada sebarang kerosakan sekalipun tayar anda tiada tanda pancit. Periksa juga struktur tayar untuk sebarang bonjolan atau koyakan dan segera tukar tayar anda jika ada. 

Rim Yang Bengkok atau Retak 

Bahagian seterusnya yang akan menerima kesan apabila kereta terlanggar lubang jalan ialah rim tayar. Kereta model terkini kebanyakannya dilengkapi dengan rim aluminium atau aloi dan bahan ini lebih mudah untuk kemik lagi-lagi apabila terlanggar lubang jalan pada kelajuan tinggi. 

Rim yang bengkok akan menjadi herot juga boleh menyebabkan keretakan. Ini akan menyebabkan stereng anda bergegar ketika meandu dan anda juga tak mampu untuk mengawal kenderaan anda dengan betul. 

Kerosakan Jajaran Kereta & Suspensi 

Antara kesan lain melanggar lubang jalan ialah kerosakan pada jajaran dan suspensi kereta. 

Ini boleh menyebabkan kerosakan awal pada topang (strut) dan penyerap hentakan yang boleh membuatkan kereta anda melantun dengan tak terkawal semasa dipandu. 

Selepas melanggar lubang jalan, kalau anda perasan kereta anda membelok secara tiba-tiba semasa memandu, ini bermakna jajaran kereta anda telah rosak dan ia boleh menyebabkan tayar kereta anda cepat haus. 

Melaporkan Jalan Berlubang

Pada tahun 2020, Jabatan Kerja Raya (JKR) membuat hantaran di Facebook yang menyenaraikan cara-cara orang awam boleh membuat aduan jalan yang rosak dan juga jalan berlubang. 

Pernyataan ini juga menyatakan bahawa, ‘tanpa mengira Jalan Persekutuan atau Jalan Negeri atau Jalan Majlis setiap aduan akan disalurkan kepada pihak berkenaan untuk tindakan diambil segera.’

Ini dia cara-cara yang anda boleh gunakan untuk membuat aduan jalan berlubang kepada JKR: 

  1. Laman web JKR Care (https://aduan.jkr.gov.my/)
  • Layari laman web di atas.  
  • Klik ‘Daftar Aduan’
  • Teruskan dengan mengisi aduan anda beserta butiran anda dan hantar.

  1. Sistem Pengurusan Aduan Awam (SISPAA) JKR (https://kkr.spab.gov.my/eApps/system/index.do)
  • Layari laman web di atas. 
  • Klik pada ‘Aduan/Maklum Balas Baharu’. 
  • Teruskan dengan mengisi aduan anda beserta maklumat anda dan hantar. 

sispaa jkr

  1. Sistem Pengurusan Aduan Awam (SISPAA) Biro Pengaduan Awam (https://pcb.spab.gov.my/eApps/system/index.do)
  • Layari laman web di atas. 
  • Klik pada ‘Aduan/Maklum Balas Baharu’. 
  • Teruskan dengan mengisi aduan anda beserta maklumat anda dan hantar. 

  1. Panggilan telefon
  • Hubungi talian 1-300-888-557 atau 03-2618 8401/8402 
  1. E-mel
  1. E-mel komunikasi 
  1. Melalui media cetak dan akhbar 
  2. Malaysia Government Call Centre (MyGCC) 

  1. Surat aduan 
  • Hantarkan surat aduan anda kepada JKR di alamat – Urus Setia Aduan JKR, Bahagian Komunikasi Korporat (BKK), Cawangan Dasar dan Pengurusan Korporat, Ibu Pejabat JKR Malaysia, Tingkat 30, Blok G, Jalan Sultan Salahuddin, 50480 Kuala Lumpur
  1. Pejabat JKR 
  • Anda juga boleh membuat aduan terus kepada JKR dengan datang sendiri ke mana-mana pejabat JKR. 
  1. Aplikasi ‘Respons Rakyat’ 
  • Muat turun aplikasi ‘Respons Rakyat’ untuk mengemukakan aduan anda. Aplikasi boleh dimuat turun di Apple Store dan Play Store.

Dan, anda juga boleh melaporkan aduan tentang jalan berlubang melalui cara berikut juga: 

Talian Whatsapp ‘Aduan Potholes DBKL’ untuk di Kuala Lumpur 

Jika anda sedang memandu di sekitar Kuala Lumpur dan anda ternampak jalan berlubang atau sebarang kerosakan jalan yang memerlukan perhatian langsung, anda boleh terus memaklumkan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) di mana lokasi kerosakan melalui Whatsapp di talian  011-6239 6652  atau klik saja pautan ini https://wa.link/jobdg3.  

Dalam hantaran Facebook ini, apa yang anda perlu lakukan adalah mengambil gambar jalan yang berlubang yang anda ingin adukan dan hantarkannya terus ke talian whatsapp di atas beserta lokasinya supaya pihak DBKL boleh melaksanakan kerja-kerja pembaikian

Guna Waze Report Untuk Melaporkan Jalan Berlubang dan Halangan Jalan Yang Lain Di Selangor

Jika anda tinggal di Selangor pula, kerajaan negeri telah bekerjasama dengan Waze untuk mengumpulkan maklumat berkenaan jalan berlubang dan lain-lain halangan jalan daripada orang awam. 

https://www.youtube.com/watch?v=fydStg1IwW8

Sumber: YouTube Smart Selangor

Nak buat laporan pun mudah. Apa yang anda perlu buat hanyalah klik pada pada ikon ‘Report’ apabila anda melihat lubang pada jalan atau sebarang jalangan di atas jalan, pilih ‘Hazard’ kemudian ketik ‘On Road’, diikuti oleh ‘Pothole’ dan ketik ‘Send’ untuk menghantar laporan anda. Anda juga boleh mengepilkan gambar serta komen bersama-sama laporan anda jika perlu. 

Berhati-hati Dengan Jalan Berlubang dan Halangan Lain Di Atas Jalan Semasa Memandu 

Sentiasalah berhati-hati dengan jalan berlubang atau halangan lain di atas jalan – ia boleh mendatangkan bahaya jika diabaikan terlalu lama. Jadi, apabila anda memandu dan jika anda boleh, jalankan tanggungjawab anda dengan melaporkannya kepada pihak berkuasa supaya ia boleh dibaiki atau dialihkan untuk keselamatan semua pengguna jalan raya. 

Dan kalau anda dapat kesan jalan berlubang semasa memandu, perlahankan kenderaan anda dan cuba mengelakkannya dengan berhati-hati. Jangan melencong secara tiba-tiba untuk mengelak jalan berlubang kerana ia boleh menyebabkan kerosakan yang serius kepada kereta anda jika terlanggar secara menyerong. Anda juga boleh terlanggar kenderaan lain jika anda terlencong ke laluan lain. 

Dengan ini, semoga perjalanan anda sentiasa selamat dan lancar. 

Haziq Asyraf
Haziq Asyraf
A self-proclaimed foodie and gamer whose passion for food and games has recently extended to cars.
RELATED ARTICLES
- Advertisment -

Most Popular