HomeBMBila Perlu Tukar Spark Plug Kereta? Kenal Pasti 6 Tanda Spark Plug...

Bila Perlu Tukar Spark Plug Kereta? Kenal Pasti 6 Tanda Spark Plug Kereta Rosak

Spark plug memainkan peranan penting dalam sistem pembakaran dalaman enjin – palam pencucuh berfungsi menghasilkan percikan api bagi memastikan campuran udara dan bahan api dalam ruang pembakaran menyala. Sama seperti minyak hitam atau minyak enjin, penapis minyak atau penapis udara kereta, spark plug kereta juga memerlukan rutin penjagaan dan penyelenggaraan secara berkala bagi memastikan prestasinya kekal berada dalam keadaan baik. Secara amnya, spark plug kereta perlu diselenggara dan digantikan bagi memastikan prestasi enjin kereta berada pada tahap yang optimum setiap 30,000 atau 50,000 bergantung pada situasi.

spark plug kereta rosak

6 Tanda Spark Plug Kereta Rosak yang Perlu Anda Tahu

Secara amnya, spark plug kereta berfungsi menghasilkan percikan api bagi membantu menyalakan campuran bahan api dan udara dalam enjin. Spark plug yang berada dalam keadaan baik membantu membakar bahan api dengan lebih efisien. Namun sekiranya spark plug rosak, ia boleh menyebabkan masalah-masalah lain seperti enjin kereta sukar untuk dihidupkan. Berikut merupakan enam (6) tanda spark plug kereta rosak untuk rujukan dan panduan anda:

1. Kuasa Pecutan Kereta Berkurangan

Salah satu punca yang menyebabkan kuasa pecutan kereta berkurangan yang sering berlaku dalam kebanyakan kereta hari ini adalah disebabkan oleh masalah dalam sistem pencucuhan atau ignition system. Biasanya, masalah ini berlaku disebabkan oleh kerosakan pada sistem sensor atau spark plug. Spark plug kereta rosak atau haus akan menyebabkan prestasi spark plug merosot sekali gus mengurangkan kuasa pecutan kenderaan. Sekiranya anda mendapati kuasa pecutan kereta anda berkurangan tidak seperti kebiasaan, ia mungkin disebabkan oleh spark plug kereta rosak yang perlu digantikan.

Namun begitu, anda disarankan untuk merujuk mekanik anda untuk pemeriksaan lanjut. Adakalanya, masalah kuasa pecutan kereta berkurangan turut berlaku disebabkan oleh beberapa faktor lain termasuk penapis bahan api yang rosak, penyuntik bahan api yang kotor atau tersumbat atau masalah pada sensor oksigen.

2. Kereta Kuat Makan Minyak

Spark plug kereta yang berada dalam keadaan baik membantu membakar bahan api dengan lebih cekap dalam kitaran pembakaran. Ia sekali gus memberikan purata penjimatan bahan api yang lebih baik. Sekiranya kenderaan anda mengalami peningkatan penggunaan bahan api, ia mungkin disebabkan oleh spark plug yang sudah rosak. Proses pembakaran enjin yang tidak sempurna boleh menyebabkan peningkatan penggunaan bahan api yang lebih ketara. Kebiasaannya, enjin memerlukan sekitar 20 hingga 30 peratus lebih bahan api jika spark plug tidak berfungsi dengan baik.

3. Enjin Kereta Tersedu-sedu, Semput

Enjin kereta tersedu-sedu atau semput (misfire) biasanya berlaku disebabkan oleh masalah dalam sistem pencucuhan. Ia disebabkan oleh cetusan pada enjin kereta yang terputus-putus yang terjadi dalam silinder disebabkan campuran udara dan bahan api yang tidak tercucuh secara selanjar. Dalam kebanyakan kereta moden, masalah ini biasanya berlaku disebabkan oleh kegagalan sistem sensor.

Namun begitu, ia juga boleh terjadi disebabkan oleh wayar atau sambungan spark plug kereta yang sudah usang atau rosak. Sekiranya situasi sebegini dibiarkan, pengeluaran ekzos akan meningkat dan mungkin akan menjejaskan pretasi dan kuasa enjin serta ekonomi bahan api.

4. Kuasa Enjin Bertambah, Berkurang Secara Tiba-tiba

Selain itu, anda mungkin mendapati kuasa enjin kereta akan tiba-tiba bertambah sebelum bertukar perlahan dengan tiba-tiba semasa memecut. Situasi ini berlaku kerana enjin kereta menyedut lebih banyak udara semasa proses pembakaran melebihi amaun yang diperlukan. Ia sekali gus menyebabkan kelewatan dalam penghantaran kuasa kepada enjin kereta. Masalah sebegini menandakan masalah kerosakan serius pada spark plug.

5. Enjin Kereta Bunyi Kasar

Jika anda menyedari enjin kereta bunyi kasar, bunyi knocking atau enjin kereta bunyi bersiul terutamanya semasa kereta berada dalam keadaan pegun (tidak bergerak), ia mungkin menandakan spark plug kereta rosak. Biasanya, masalah enjin kereta berbunyi kasar sebegini turut menyebabkan kereta bergegar. Ia berlaku disebabkan pembakaran bahan api yang tidak sekata dan sempurna menyebabkan enjin kereta bergegar selepas dihidupkan.

6. Kereta Boleh Start Tapi Tak Hidup

Sekiranya anda menghadapi masalah untuk start kereta anda tapi tak hidup, ia mungkin menandakan palam pencucuh atau spark plug kereta rosak dan perlu digantikan. Sistem enjin kereta terdiri daripada beberapa komponen individu yang berfungsi secara kolektif dalam memastikan enjin kereta berfungsi dengan baik. Jika salah satu daripada komponen ini rosak, ia mungkin menjejaskan prestasinya.

Jika kereta boleh start tapi tak hidup, anda disarankan untuk menghubungi mekanik anda untuk memeriksa kereta anda. Biasanya, masalah pada spark plug boleh menyebabkan enjin kereta susah start terutamanya pada waktu pagi dan memaksa anda untuk memulas kunci kereta beberapa kali untuk enjin benar-benar hidup.

Artikel Berkaitan: Kereta Tak Boleh Start? Jangan Panik, 5 Punca Kereta Tak Boleh Start Yang Perlu Anda Tahu

spark plug | palam pencucuh

Harga Spark Plug Kereta: Kos Penggantian Spark Plug Kereta Rosak

Secara amnya, kos penggantian atau harga spark plug kereta adalah sekitar RM20 hingga RM100 dalam pasaran bergantung pada kuantiti spark plug yang diperlukan, model kenderaan dan kos buruh. Harga spark plug di kedai alat ganti kereta untuk Proton Saga contohnya dijual dalam lingkungan harga RM26/set. Namun begitu, harga ini juga bergantung pada jenis spark plug yang dipilih.

Jenis-jenis Palam Pencucuh Kereta

Berikut merupakan antara jenis-jenis spark plug kereta yang sering digunakan oleh kebanyakan pemilik kenderaan:

1. Palam Pencucuh Jenis Tembaga/Nikel

Ia juga dikenali sebagai palam pencucuh standard, menampilkan teras tembaga di bahagian dalam dengan kemasan saduran aloi nikel bagi tujuan elektrod. Palam pencucuh ini berharga lebih murah dan mempunyai jangka hayat yang lebih pendek. Harga spark plug tembaga dijual pada harga sekitar RM30 atau mungkin lebih tinggi (bergantung pada model kenderaan anda).

2. Palam Pencucuh Jenis Platinum Tunggal

Palam pencucuh jenis ini merupakan salah satu spark plug kereta paling popular dalam kalangan pemilik kenderaan. Ia menampilkan platinum sebagai elektrod, sejenis logam mahal dan dikatakan memberikan tekstur yang lebih keras berbanding nikel. Ia mempunyai jangka hayat yang lebih baik dan lebih ringan berbanding palam pencucuh standard. Harga spark plug platinum tunggal dijual pada harga sekitar RM40 dan ke atas bergantung pada model kenderaan anda.

3. Palam Pencucuh Jenis Dwiplatinum

Palam pencucuh double platinum ini memaksimumkan penggunaan platinum pada kedua-dua bahagian teras dan dasar. Ia dikatakan lebih mahal berbanding palam pencucuh jenis platinum tunggal dan nikel, setanding dengan prestasi dan kualiti yang ditawarkan.

4. Palam Pencucuh Jenis Iridium

Palam pencucuh iridium menjanjikan jangka hayat yang lebih lama. Iridium ialah sejenis logam yang lebih keras dan dikatakan lebih tahan lasak berbanding platinum. Namun begitu, palam pencucuh jenis ini biasanya dijual pada harga yang lebih mahal, tetapi berbaloi dari segi penggunaan – tahan tiga kali ganda lebih lama berbanding palam pencucuh biasa. Harga spark plug iridium dijual pada harga antara RM50 hingga RM150 bergantung pada model kenderaan anda.

Secara amnya, penjagaan, penyelenggaraan dan penggantian spark plug atau palam pencucuh secara proaktif dapat memanjangkan jangka hayat enjin kenderaan anda. Ia penting bagi memastikan komponen lain dalam enjin kereta sentiasa berada dalam keadaan baik. Selain itu, sekiranya anda merancang untuk membeli kereta terpakai atau menjual kereta second hand anda, layari laman web Carsome untuk info lanjut. Carsome merupakan platform jual beli kereta terpakai yang menawarkan rangkaian pilihan kereta terpakai yang berkualiti, terbaik dan selamat dengan harga yang berpatutan.

Haziq Asyraf
Haziq Asyraf
A self-proclaimed foodie and gamer whose passion for food and games has recently extended to cars.
RELATED ARTICLES
- Advertisment -

Most Popular