HomeBMPunca Cermin Kereta Retak & Cara Claim Insurans Cermin Kereta

Punca Cermin Kereta Retak & Cara Claim Insurans Cermin Kereta

Cermin kereta pecah atau cermin retak seribu merupakan antara perkara biasa yang sering dialami oleh kebanyakan pemilik kereta. Situasi cermin tiba-tiba pecah ini boleh berlaku sama ada ketika memandu atau semasa kereta ditinggalkan di kawasan tempat letak kereta.

Biasanya, cermin depan kereta retak atau cermin kereta belakang pecah disebabkan terkena batu, keadaan cuaca yang tidak menentu, dan faktor-faktor semasa yang lain. Secara amnya, cermin kereta bukan sahaja berfungsi memberi perlindungan daripada hujan, angin, atau habuk, tetapi turut memainkan peranan penting dalam mengurangkan risiko kecederaan kepada pemandu dan penumpang sekiranya berlaku kemalangan kereta.

Cermin kereta menyumbang sehingga 34 peratus daripada keseluruhan integriti struktur kereta. Ia berfungsi mengelakkan bumbung kereta daripada remuk teruk dan menghempap pemandu atau penumpang semasa kemalangan. Pemasangan cermin kereta yang betul juga sangat penting bagi memastikan beg udara kereta berfungsi dengan baik selain membantu mengurangkan risiko kecederaan yang lebih serius akibat kemalangan.

Cermin kereta yang retak, pecah, atau tidak dipasang dengan betul tidak dapat berfungsi dengan baik dan ini akan mengurangkan keberkesanannya dalam melindungi pemandu dan penumpang.

7 Punca Cermin Kereta Retak, Cermin Pecah yang Perlu Anda Tahu

Kebanyakan kereta moden hari ini dilengkapi dengan tiga lapisan cermin keselamatan yang dikatakan lebih kuat dan selamat berbanding cermin biasa. Secara amnya, cermin depan kereta diperbuat daripada kaca bajaan yang telah melalui proses pemanasan yang teliti untuk menguatkan lagi struktur kaca.

Ia secara tidak langsung menjadikannya tahan lasak dan tidak mudah pecah. Meskipun begitu, rekahan atau retakan kecil pada cermin kereta masih boleh berlaku sekiranya berlaku situasi-situasi yang tak dijangka seperti berikut:

1. Cermin Kereta Retak Akibat Terkena Batu Atau Objek Asing

Objek keras seperti batu, kayu, pasir dan sebagainya boleh menyebabkan cermin kereta retak atau pecah. Oleh sebab itu, anda disarankan untuk memperlahankan kenderaan anda dan tidak mengekori belakang lori atau kenderaan berat yang membawa bahan pembinaan seperti batu kerikil, tanah, pasir atau kayu terlalu rapat. Ini kerana, meskipun objek-objek yang dibawa oleh lori ini biasanya bersaiz kecil, tetapi jika ditambah dengan faktor kelajuan ketika anda berada di jalan raya, ia dapat mengakibatkan kerosakan pada cermin depan kereta anda dengan mudah.

cermin kereta retak pecah, kna batu

Jika boleh, anda disarankan untuk memotong kenderaan berat yang membawa barangan berisiko dan elakkan memandu di belakang kenderaan berat terlalu rapat. Jaga jarak ideal dengan kenderaan di hadapan anda untuk mengurangkan risiko ini berlaku kepada anda. Selain itu, ada juga situasi cermin kereta retak yang diakibatkan oleh batu yang melantun daripada kerja-kerja pemotongan rumput di tepi jalan.

Cara Claim Cermin Kereta Pecah Akibat Terkena Batu Semasa Pemotongan Rumput

Sekiranya anda berdepan dengan situasi cermin kereta retak atau pecah akibat terkena batu disebabkan aktiviti pemotongan rumput, berikut antara langkah-langkah yang boleh anda lakukan untuk buat tuntutan:

  1. Ambil gambar cermin yang retak atau pecah dan simpan sebagai bukti untuk digunakan semasa proses tuntutan insurans kereta;
  2. Dapatkan butiran peribadi pemotong rumput seperti nama, nombor kad pengenalan dan syarikat beliau bekerja. Catatkan juga lokasi, tarikh dan masa kejadian;
  3. Hubungi syarikat kontraktor dan dapatkan nama serta lokasi bengkel panel syarikat insurans berdaftar;
  4. Buat laporan polis dalam tempoh masa 24 jam. Nyatakan dalam laporan butiran peribadi pemotong rumput termasuk nama syarikat kontraktor, lokasi, tarikh dan masa kejadian berlaku;
  5. Setelah selesai, bawa laporan polis ke bengkel panel insurans berdekatan anda untuk mendapatkan penggantian cermin kereta secara percuma.

2. Dahan Pokok Patah, Jatuh Menghempap Cermin Kereta

Ada sesetengah pemilik kereta yang memilih untuk meletakkan kereta di bawah pokok untuk berteduh daripada cuaca panas. Namun begitu, perbuatan ini sebenarnya agak berisiko. Jika cuaca tiba-tiba berubah menjadi buruk – contohnya seperti hujan lebat atau ribut, ia boleh menyebabkan dahan pokok patah lalu jatuh menghempap cermin kereta anda.

3. Cermin Kereta Pecah Disebabkan Cuaca Panas

Secara amnya, setiap bahagian cermin kereta mempunyai kadar pengecutan dan pengembangan yang berbeza – kadar pemanasan di bahagian tepi cermin biasanya lebih cepat berbanding bahagian tengah cermin.

Oleh sebab itu, kenderaan yang dibiarkan terdedah kepada cahaya matahari secara berpanjangan berisiko mengalami cermin kereta retak atau cermin tiba-tiba pecah. Ini kerana, bahan logam pada rangka kereta berpotensi memanaskan bahagian tepi cermin dengan lebih cepat sekaligus menyebabkan keretakan.

Elakkan daripada meletakkan kereta di bawah panas terik pada jangka masa panjang. Anda disarankan untuk meletakkan kereta anda di kawasan tertutup atau di kawasan teduh yang selamat.

4. Cermin Tiba-tiba Pecah Disebabkan Perubahan Suhu

Selain daripada cuaca panas, perubahan suhu secara mendadak boleh menyebabkan cermin kereta retak atau pecah secara tiba-tiba. Meskipun situasi sebegini amat jarang berlaku, anda disarankan untuk berhati-hati dan mengamalkan langkah pencegahan yang sesuai.

Perubahan suhu secara tiba-tiba daripada cuaca panas terik (suhu tinggi) kepada cuaca hujan (suhu rendah) boleh meningkatkan risiko keretakan cermin dan menyebabkan cermin pecah dan retak secara tiba-tiba. Berikut merupakan antara kesilapan-kesilapan biasa yang dilakukan oleh pemilik kereta yang boleh menyumbang kepada masalah cermin tiba-tiba retak:

  • Meletakkan kereta di kawasan terbuka pada hari panas untuk tempoh masa yang lama.
  • Menghidupkan penyaman udara pada suhu tinggi sebaik sahaja menghidupkan enjin kereta semasa suhu di dalam kereta masih panas.
  • Membasuh kereta atau cermin depan dengan air sejuk semasa cuaca panas.

Selain itu, cuaca panas juga berpotensi menyebabkan retakan kecil sedia ada menjadi lebih besar lebih-lebih lagi jika kereta dibiarkan di kawasan terbuka. Oleh sebab itu, anda disarankan untuk sentiasa berhati-hati dan peka dengan suhu persekitaran semasa untuk mengelakkan cermin kereta retak atau rosak.

5. Cermin Kereta Pecah Kerana Kelemahan atau Kecacatan Struktur Cermin

Keretakan atau kerosakan cermin kereta juga boleh berlaku disebabkan oleh kelemahan atau kecacatan pada struktur cermin itu sendiri. Masalah kerosakan produk atau komponen tertentu kereta pada fasa pengeluaran merupakan masalah biasa yang sering berlaku.

cermin kereta retak pecah, pecah seribu

Umumnya, produk seperti cermin kereta akan melalui proses pembuatan dan penilaian tertentu sebelum diluluskan untuk memasuki pasaran. Namun begitu, adakalanya sesetengah produk yang diluluskan tidak mencapai standard yang ditetapkan disebabkan oleh pelbagai faktor seperti terlepas pandang atau sebagainya.

Tegasan sisa atau residual stress yang tertinggal semasa proses pembuatan misalnya boleh menjejaskan dan melemahkan struktur cermin kereta sekaligus meningkatkan potensi cermin retak. Dalam erti kata lain, proses pembuatan yang tidak dilakukan dengan teliti boleh menyebabkan struktur cermin kereta menjadi lemah dan mudah retak.

6. Pemasangan yang Tidak Berkualiti Meningkatkan Risiko Cermin Pecah & Retak

Selain kelemahan struktur, kerosakan cermin kereta juga boleh berlaku disebabkan oleh kualiti pemasangan yang kurang baik. Meskipun faktor cermin kereta retak disebabkan oleh kualiti pemasangan merupakan situasi yang jarang berlaku, anda disarankan untuk menggunakan perkhidmatan mekanik yang berpengalaman untuk mengurangkan risiko ini.

Sekiranya cermin kereta tidak dipasang dengan betul dan longgar, ia boleh bergegar dan akan memberi tekanan pada cermin. Oleh sebab cermin kereta juga memberikan sokongan pada struktur kereta, tekanan pada struktur dalaman kereta boleh mengurangkan kekuatan cermin kereta anda. Tekanan pada cermin secara tidak langsung menyebabkan cermin kereta anda berisiko untuk pecah.

7. Cermin Retak Seribu Disebabkan Kemalangan

Sekiranya anda pernah terlibat dalam kemalangan jalan raya sebelum ini, ia mungkin salah satu punca cermin kereta anda retak atau rosak. Cara terbaik untuk melindungi cermin kereta anda daripada keretakan dan kerosakan yang berpunca daripada kemalangan adalah dengan memandu secara berhati-hati dan sentiasa peka dengan keadaan sekeliling setiap masa. Selain kemalangan, cermin kereta pecah atau retak boleh berlaku disebabkan perlanggaran dengan objek lain seperti burung atau batu yang melantun daripada tayar kenderaan lain semasa memandu di lebuh raya.

Malah, terdapat situasi di mana cermin kereta pecah disebabkan terkena bola golf atau bola hoki. Oleh sebab itu, anda disarankan untuk tidak meletakkan kenderaan di kawasan tempat letak kereta yang berhampiran dengan padang golf, hoki atau lokasi lain yang berpotensi mendatangkan bahaya kepada cermin kereta anda.

Artikel berkaitan: Proses Tuntutan Insurans Kereta dan Cara Claim Insurans Kemalangan

Cara untuk Elakkan Cermin Retak, Cermin Pecah

Pengetahuan mengenai cara untuk mengurangkan risiko cermin kereta pecah atau retak dapat mengelakkan anda daripada menanggung kos penggantian cermin kereta yang lebih mahal. Berikut merupakan tips yang boleh anda ikuti untuk panduan dan rujukan anda:

1. Jaga Jarak Selamat

Semasa memandu di lebuh raya atau jalan raya biasa, pastikan anda menjaga jarak yang selamat dengan kenderaan di hadapan yang membawa muatan barangan seperti batu atau kayu. Percikan batu, pasir atau serpihan kayu yang jatuh daripada lori yang sedang bergerak boleh menyebabkan cermin kereta pecah atau retak. Amalkan peraturan 12 saat semasa mengekori kenderaan-kenderaan dengan muatan barangan seperti lori atau treler ini.

2. Pandu dengan Berhati-hati

Selain mengurangkan risiko kemalangan, memandu dengan berhati-hati mengikut had laju dan peraturan yang ditetapkan juga dapat mengurangkan risiko cermin kereta retak atau pecah akibat terkena objek atau sebarang serpihan yang terpelanting atau terbang. Pandu dengan berhati-hati dan jaga jarak yang selamat, terutamanya semasa memandu di belakang kenderaan besar atau dalam kawasan pembinaan.

3. Elakkan Cuci Kereta Pada Waktu Tengah Hari

cermin kereta retak pecah, basuh kereta

Elakkan cuci kereta pada waktu tengah hari – perubahan suhu yang mendadak boleh meningkatkan risiko cermin kereta retak atau pecah. Cermin kereta yang panas yang terkena air (suhu sejuk) lebih tinggi risiko untuk retak atau pecah. Selain itu, elakkan daripada meletakkan kenderaan anda di bawah cahaya matahari terik. Jika boleh, parking kereta anda di tempat yang teduh atau di kawasan yang berbumbung.

4. Sentiasa Periksa Cermin Kereta

Sekiranya anda mendapati cermin kereta anda mempunyai kesan serpihan, retak atau pecah, lakukan pembaikan dengan segera. Kerosakan kecil sebegini boleh dilakukan dengan melakukan proses refilling atau repairing. Jika diabaikan, kerosakan kecil ini boleh menjadi lebih teruk dan serius sekali gus memaksa anda untuk menggantikan keseluruhan cermin kereta.

Cermin Kereta Perlu Digantikan? Ini Cara Claim Insurans Cermin Kereta & Harga Cermin Kereta

Sekiranya cermin kereta anda rosak, retak atau pecah, anda boleh melakukan tuntutan daripada penyedia insurans dengan syarat anda mempunyai perlindungan tambahan ini. Di bawah perlindungan ini, anda akan diberi pampasan terhadap kos yang diperlukan bagi menggantikan cermin kereta yang retak atau pecah disebabkan oleh kemalangan, terkena batu, dipecahkan (akibat rompakan, samun) atau sebagainya bergantung pada polisi anda. Anda hanya perlu menyediakan dokumen-dokumen (salinan, asal) seperti berikut:

  • Kad pengenalan pemilik
  • Lesen memandu
  • Geran kereta
  • Salinan polisi insurans yang masih sah

Bawa kereta anda ke bengkel panel untuk menguruskan penggantian cermin kereta. Namun begitu, jika anda tidak mempunyai insurans tambahan untuk perlindungan cermin kereta, anda perlu mengeluarkan belanja sendiri untuk membaiki cermin kereta yang rosak.

cermin kereta retak pecah, cara ganti

Harga Cermin Kereta di Pasaran Malaysia

Di sini kami sediakan senarai harga cermin kereta di pasaran Malaysia untuk rujukan anda seperti berikut:

Senarai Harga Cermin Kereta
Model Anggaran Harga Cermin Kereta
Perodua Myvi RM600 – RM700
Proton Wira RM700 – 800
Toyota Vios RM800 – RM2,000
Toyota Alphard RM3,000
Toyota Yaris RM1,500
Perodua Kancil RM500
Proton Waja RM800
Proton Iswara RM700
Perodua Kelisa RM500
Honda Civic FD RM1,500 – 2,000
Perodua Axia RM500
Perodua Bezza RM700
Honda City RM1,000 – RM1,200
Honda Jazz RM1,000 – RM1,500
Honda HR-V RM1,500 – RM3,000
Honda BR-V RM1,500
Honda Accord RM1,000 – RM2,500

 

Untuk maklumat lanjut mengenai harga cermin kereta yang perlu dibayar bagi jenama dan model kereta yang lain, anda boleh layari laman web ini.

Bagaimana Jika Anda Perlu Pecahkan Cermin Kereta Anda?

Apabila berada dalam situasi kecemasan, anda mungkin terpaksa memecahkan cermin kereta anda untuk menyelamatkan nyawa anda atau orang lain. Jika ini berlaku, anda perlu kenal pasti bahagian cermin yang boleh dipecahkan dengan mudah, iaitu di bahagian sudut.

Dalam keadaan seperti kemalangan, kereta terjunam ke dalam air, atau kebakaran, anda boleh gunakan gunakan tukul cermin atau penyandar kepala untuk memecahkan cermin kereta dan keluar melaluinya.

Setelah anda berjaya keluar, terus pergi ke tempat selamat dan hubungi talian kecemasan 999 untuk mendapatkan bantuan lanjut. Dalam kes ini, masa adalah faktor penting, jadi pastikan anda dapatkan bantuan secepat mungkin.

Jaga & Lindungi Cermin Kereta Anda!

Dalam usaha untuk melindungi cermin kereta anda daripada kemungkinan pecah atau retak, adalah penting untuk mengambil langkah-langkah pencegahan yang sesuai. Memandu dengan berhati-hati, menjaga jarak selamat dengan kenderaan lain, dan mengelakkan meletakkan kereta di tempat yang berisiko adalah beberapa langkah yang boleh anda ambil.

Jangan lupa untuk mengambil langkah betul untuk menjaga cermin kereta anda selain daripada memastikan ia telah dipasang dengan betul. Jika cermin kereta anda pecah atau retak akibat kejadian yang tidak dijangka, seperti terkena batu atau semasa pemotongan rumput, penting untuk membuat laporan polis dan membuat tuntutan insurans untuk mendapatkan penggantian yang sesuai.

Dengan memahami punca-punca cermin kereta pecah dan mengambil langkah-langkah yang betul, anda dapat mengurangkan risiko dan menjaga keselamatan diri serta penumpang anda.

Selain itu, sekiranya anda merancang untuk membeli kereta terpakai atau menjual kereta lama anda, layari carsome.my atau muat turun aplikasi kami untuk alami proses jual beli kereta pramilik berkualiti yang selamat, mudah, dan lancar.

 

RELATED ARTICLES
- Advertisment -

Most Popular