HomeBMMasa Paling Berbaloi dan Terbaik untuk Jual Kereta Lama

Masa Paling Berbaloi dan Terbaik untuk Jual Kereta Lama

Setiap orang mengimpikan tawaran harga yang terbaik semasa trade in atau jual kereta lama sebelum mendapatkan kereta baharu yang lebih baik. Namun begitu, terdapat banyak faktor lain yang perlu dipertimbangkan mengikut situasi dan keadaan semasa. Kebanyakan pakar berpendapat usia kereta lima (5) tahun merupakan masa yang sesuai dan terbaik untuk menjual kereta lama anda. Ini kerana, kebanyakan kereta yang berusia kurang daripada lima (5) tahun biasanya jarang bermasalah atau mengalami kerosakan-kerosakan besar.

Pandemik Covid-19 yang melanda dunia hari ini juga sedikit sebanyak mengubah pola kehidupan dunia. Trend permintaan terhadap kereta terpakai juga dilihat semakin meningkat. Ini kerana, rata-rata pembeli mencari alternatif lain yang lebih selamat untuk mengelakkan penggunaan pengangkutan awam yang sesak terutamanya semasa pandemik. Permintaan terhadap kereta terpakai yang tinggi ini secara tidak langsung meningkatkan nilai jualan semula kereta berbanding sebelum ini lebih-lebih lagi jika kereta lama masih berada dalam keadaan baik.

Tukar Kereta Lama Selepas 5 Tahun?

Masa yang ideal dan terbaik untuk jual kereta lama anda semestinya bergantung pada pertimbangan peribadi dan faktor ekonomi semasa anda. Namun begitu, Carsome menyenaraikan beberapa perkara berikut yang boleh membantu anda membuat keputusan.

1. Susut Nilai Kereta

Susut nilai merupakan kaedah perakaunan yang merujuk kepada pengurangan nilai aset dari semasa ke semasa bergantung pada faktor fizikal, penggunaan dan sebagainya. Secara amnya, kereta baharu mengalami susut nilai sebanyak 20 peratus pada tahun pertama. Ia diikuti dengan 15 peratus pada tahun kedua dan 10 peratus pada tahun berikutnya. Kereta yang berusia kurang daripada lima tahun biasanya mengalami anggaran susut nilai antara 40 hingga 50 peratus bergantung pada keadaan semasa kereta.

Susut nilai merupakan salah satu perkara yang perlu dipertimbangkan sebelum, semasa dan selepas anda memiliki kereta. Kadar susut nilai kereta biasanya dipengaruhi oleh faktor penjagaan merangkumi aspek penyelenggaran enjin, bahagian luaran, dalaman dan lain-lain. Kereta berusia lima (5) tahun dan ke bawah biasanya mempunyai kadar susut nilai yang lebih rendah berbanding kereta yang berusia lima (5) tahun dan ke atas.

Contoh Pengiraan Susut Nilai Perodua Myvi

    • Harga Kereta Baharu: RM58,500
    • Kadar Susut Nilai: 49 peratus
    • Jumlah Susut Nilai: RM28,665
    • Harga Perodua Myvi (5 Tahun): RM29,835

Secara purata, anggaran kadar susut nilai bagi kereta yang berusia lima (5) tahun dan ke atas biasanya melebihi 50 peratus. Mileage atau kadar perbatuan merupakan salah satu faktor yang mempengaruhi kadar susut nilai. Semakin tinggi kadar perbatuan kereta anda, semakin rendah nilai semasa kereta anda. Pembeli kereta terpakai berpendapat kadar perbatuan yang tinggi boleh meningkatkan risiko kerosakan pada bahagian struktur, mekanikal atau komponen kereta. Ia sekali gus boleh meningkatkan kos pembaikan tambahan yang perlu ditanggung oleh bakal pemilik baharu.

masa terbaik jual kereta lama-kadar susut nilai

2. Waranti Kereta

Setiap kereta baharu biasanya hadir dengan jaminan waranti yang dikeluarkan oleh syarikat pengeluar kenderaan. Kebanyakan kereta yang dijual di pasaran pada hari ini dilengkapi dengan jaminan waranti selama lima (5) tahun. Jaminan ini merangkumi perlindungan teknikal, elektrikal dan mekanikal yang bertujuan untuk melindungi hak pengguna sekiranya berlaku sebarang kerosakan semasa pembuatan. Jaminan waranti ini secara tidak langsung dapat menjimatkan wang pembeli sekiranya berlaku sebarang kerosakan dalam tempoh jaminan waranti.

Namun begitu, anda perlu mematuhi spesifikasi atau syarat yang ditetapkan sepanjang tempoh waranti untuk memudahkan urusan tuntutan sekiranya berlaku sebarang kerosakan dan mengelakkan waranti daripada terbatal. Kereta yang berusia lima (5) tahun dan ke atas pula biasanya tidak lagi dilindungi oleh jaminan waranti. Oleh itu, anda mungkin perlu mengeluarkan belanja yang lebih besar sekiranya berlaku sebarang kerosakan pada mana-mana komponen penting kereta. Kos penggantian atau penukaran komponen kereta biasanya lebih mahal untuk pembaikan kereta yang lebih berusia. Meskipun terdapat sesetengah pengeluar yang menawarkan skim lanjutan waranti, ia semestinya melibatkan penambahan kos yang lebih tinggi.

3. Kos Pembaikan

Kebiasaannya, kebanyakan pemilik kereta mengambil keputusan untuk menjual kereta sebagai jalan terakhir setelah kereta yang dimiliki mengalami kerosakan atau kegagalan teknikal. Kereta yang berusia kurang daripada lima (5) tahun (atau kira-kira 60,000 km hingga 80,000 km) biasanya tidak mengalami sebarang kerosakan komponen dan sistem yang serius. Ia sekali gus dapat menjimatkan wang anda daripada mengeluarkan belanja yang besar untuk melakukan major service terhadap kereta anda. Oleh itu, ia merupakan tempoh masa yang sesuai dan terbaik untuk jual kereta lama anda.

Fikirkan dari perspektif pembeli – sebilangan besar pembeli tidak mahu membeli kereta terpakai yang memerlukan kos pembaikan tambahan atau kos penyelenggaraan yang membebankan. Sudah semestinya kebanyakan pembeli kereta terpakai beranggapan adalah lebih baik untuk beli kereta baharu jika kereta terpakai yang dibeli memerlukan perbelanjaan untuk pembaikan yang lebih besar. Jika tiada kerosakan serius pada komponen kereta, penyelenggaraan kereta dilakukan secara berjadual dan konsisten dan sistem berfungsi dalam keadaan baik, besar kemungkinan anda dapat menjual kereta lama anda dengan lebih cepat dan mudah dengan tawaran harga yang lebih tinggi.

Namun begitu, jika anda perlu mengeluarkan belanja yang lebih besar setiap bulan dan meluangkan lebih banyak masa di bengkel kereta – ini mungkin masa yang sesuai dan terbaik untuk jual kereta lama anda. Kereta yang lebih berusia biasanya memerlukan belanja yang lebih mahal terutamanya untuk membaiki komponen-komponen utama yang telah rosak seperti enjin, penggantian timing belt, tayar, pad brek dan sebagainya. Ada sesetengah pengguna yang cenderung untuk tidak menjual kereta lama kerana berpendapat kereta lama tidak memerlukan kos pembaharuan cukai jalan yang tinggi. Meskipun begitu, perlu diingat, dalam sesetengah keadaan kereta lama boleh menjadi beban kewangan dan menjejaskan keselamatan jika terlalu kerap rosak.

harga minyak minggu ini

4. Kos Bahan Bakar/Petrol

Kereta moden biasanya dilengkapi dengan teknologi cekap bahan api dan tenaga. Ia sekali gus mengurangkan kadar pelepasan pengeluaran dan menyumbang kos operasi bahan api yang lebih rendah. Perodua merupakan antara pengeluar kenderaan cekap tenaga (EEV) nombor satu di Malaysia. Jenama ini telah berjaya mengeluarkan lebih 500,000 unit kenderaan cekap tenaga dan bahan api setakat hari ini. Untuk diiktiraf sebagai EEV, sesebuah kenderaan perlu mencapai kecekapan bahan api yang diuji mengikut piawaian UNECE R101 berdasarkan beratnya tanpa muatan.

Model-model keluaran Perodua seperti Axia, Bezza dan Myvi baharu mampu mencapai kecekapan bahan api melebihi 20 kilometer seliter. Berdasarkan prestasi atas kertas, Myvi baharu misalnya, mencatatkan ekonomi bahan api sebanyak 20.1 km bagi setiap liter (Perodua Myvi baharu varian 1.5L). Dengan mengambil kira purata 1,000 km setiap bulan dan kelajuan standard, berikut merupakan anggaran kos perbelanjaan petrol selama lima tahun.

Kos Penggunaan Petrol Bagi Tempoh Lima (5) Tahun

    • Harga Petrol: RM2.05/liter* (Harga Minyak Petrol RON95)
    • Jumlah Perbatuan: 1,000km x 12 bulan x 5 Tahun = 60,000km
    • Jumlah Perbelanjaan Penggunaan Petrol: RM6119.25

*Pengiraan dibuat berdasarkan harga petrol semasa, dan kos ini mungkin bertambah atau berkurang bergantung pada penggunaan sebenar dan perubahan harga minyak

Namun begitu, kos ini mungkin meningkat bagi kereta yang berusia lima (5) tahun dan ke atas. Ini kerana, prestasi kecekapan tenaga dan bahan api semestinya selari dengan usia kereta dan tidak sehebat seperti lima tahun pertama. Komponen-komponen tertentu kereta seperti rim dan tayar mungkin perlu digantikan dan diselenggara untuk memastikan kecekapan yang berterusan. Mengikut kajian, saiz tayar dan rim yang tidak sesuai atau berat boleh menyebabkan penambahan penggunaan minyak sehingga 10 peratus

5. Naik Taraf Teknologi Lebih Canggih

Kebanyakan pengeluar kereta hari ini bukan sahaja menekankan aspek prestasi semata-mata, tetapi turut menekankan aspek teknologi dan keselamatan yang memudahkan pemanduan. Kereta baharu biasanya dilengkapi dengan sistem dan teknologi bantuan pemanduan yang canggih untuk keselesaan dan keselamatan sepanjang pemanduan. Teknologi seperti sistem kemasukan tanpa kunci (keyless system), kawalan pemanduan adaptif (ACC), kawalan titik buta, beg udara, amaran praperlanggaran merupakan antara teknologi yang diterapkan dalam kereta moden hari ini.

Dalam tidak sedar, teknologi kereta hari ini menjadikan pemanduan di jalan raya menjadi lebih selamat selain membantu mengelakkan kemalangan dan mengurangkan risiko kecederaan semasa perlanggaran. Justeru itu, anda mungkin boleh mempertimbangkan untuk menjual kereta lama anda untuk naik taraf teknologi yang lebih baik. Kereta lama anda mungkin tidak dilengkapi atau kekurangan aspek keselamatan terkini seperti dinyatakan yang boleh menjadikan pemanduan anda lebih selamat.

Teknologi tambahan ini bukan sahaja memberikan kelegaan semasa memandu, malah boleh bertindak sebagai ‘mata’ ketiga sekali gus mengurangkan risiko kemalangan dan kecelakaan. Ada sesetengah pemilik kereta lama berpendapat teknologi-teknologi sebegini boleh dipasang secara berasingan di kedai-kedai aksesori. Namun begitu, pemasangan aksesori ini adakalanya boleh menelan kos yang lebih tinggi. Malah, penggunaan pelbagai aksesori tambahan terutamanya yang tidak mengikut spesifikasi yang sesuai dan selamat boleh menyebabkan risiko kecederaan atau kematian.

beli kereta terpakai, jual kereta lama

Selain itu, boleh pertimbangkan untuk membeli kereta terpakai atau menjual kereta lama anda di Carsome. Dengan lebih 175 titik pemeriksaan, kereta yang dijual di Carsome adalah berkualiti, dipercayai dan mampu milik. Layari laman web Carsome untuk info lanjut.

Haziq Asyraf
Haziq Asyraf
A self-proclaimed foodie and gamer whose passion for food and games has recently extended to cars.
RELATED ARTICLES
- Advertisment -

Most Popular