HomeBM15 Perkara Yang Perlu Diberi Perhatian Semasa Servis Kereta Anda

15 Perkara Yang Perlu Diberi Perhatian Semasa Servis Kereta Anda

Penyelenggaraan kereta atau servis kereta merupakan perkara penting yang perlu dilakukan jika anda memiliki kereta sendiri. Ia bertujuan untuk memastikan prestasi dan komponen kereta berada dalam keadaan baik dan selamat. Namun begitu, aspek penyelenggaraan kereta kadang-kala boleh merumitkan dan memeningkan lebih-lebih jika tiada ilmu berkaitan penyelenggaraan kereta. Apakah perkara yang perlu dilakukan semasa servis kereta? Berapa kerap servis kereta perlu dilakukan? Perkara ini merupakan permasalahan biasa yang sering dialami dan menggusarkan pemilik kereta.

15 Checklist Servis Kereta Yang Anda Perlu Tahu

Untuk memudahkan anda, Carsome menyenaraikan 15 panduan dan perkara asas mengenai servis kereta untuk anda yang mungkin baru pertama kali memiliki kereta atau kurang arif berkenaan proses servis kereta. Dengan mengetahui perkara asas sebegini, anda bukan sahaja dapat memastikan kereta anda berada dalam keadaan baik, malah mengelakkan pertambahan kos terutamanya jika berlaku kerosakan yang lebih serius.

perkara asas mengenai servis kereta

Servis Kereta Jangka Pendek

Penyelenggaraan perlu dilakukan mengikut tempoh masa yang ditetapkan untuk memastikan kenderaan berada dalam keadaan selamat dan baik. Kebiasaannya, penyelenggaraan kereta jangka pendek dibuat setiap 5,000 km atau setiap tiga bulan bergantung pada keadaan semasa kereta dan kekerapan pemanduan. Anda boleh mempertimbangkan perkara-perkara berikut untuk servis kereta jangka pendek:

pemeriksaan minyak enjin, minyak hitam atau minyak pelincir

1. Paras Minyak dan Cecair Penyejuk

Periksa paras minyak (minyak enjin atau minyak gear) dan paras cecair penyejuk dalam kereta anda. Pastikan ia berada pada paras yang disyorkan terutamanya sebelum memulakan perjalanan jarak jauh. Kandungan minyak enjin, minyak gear atau cecair penyejuk yang rendah boleh menyebabkan kerosakan pada bahagian enjin jika dibiarkan. Jika tidak pasti, anda boleh rujuk manual pemilik untuk mendapatkan info lanjut mengenai paras minyak dan cecair penyejuk yang sesuai untuk kereta anda.

2. Penapis Udara

Penapis udara berfungsi mengawal aliran udara yang masuk ke dalam enjin dan membantu mengelakkan serpihan atau bendasing daripada memasuki dan merosakkan bahagian enjin. Car air filter atau penapis udara kereta yang berada dalam keadaan baik bukan sahaja dapat membantu memanjangkan jangka hayat enjin, malah turut membantu meningkatkan kecekapan bahan bakar dan mengurangkan kadar pelepasan asap berbahaya yang boleh mencemarkan udara. Untuk lebih menjimatkan, anda boleh membersihkan dan memeriksa penapis udara kereta sendiri di rumah. Rujuk manual pemilik jika tidak pasti.

3. Keadaan Tayar

Periksa keadaan tayar sekurang-kurangnya sekali setiap dua minggu atau sebelum memulakan perjalanan jarak jauh. Tayar yang rosak atau tidak berada dalam keadaan baik boleh menyebabkan risiko kecederaan atau kemalangan yang mungkin boleh meragut nyawa. Selain itu, periksa tekanan tayar dari semasa ke semasa. Jika tekanan angin dalam tayar lebih rendah daripada yang ditetapkan, ia boleh meningkatkan penggunaan bahan api dan mengurangkan cengkaman antara tayar dan permukaan jalan. Namun begitu, jika tekanan angin berlebihan, kehausan bunga tayar yang tidak sekata boleh berlaku. Tekanan tayar kereta yang disyorkan biasanya dilekatkan pada pintu bahagian pemandu kereta.

4. Lampu Depan, Signal, Brek dan Undur

Pastikan lampu depan kereta anda termasuk lampu suluh rendah (low beam), lampu suluh tinggi (high beam) dan lampu kabus depan berfungsi dan berada dalam keadaan baik. Sekurang-kurangnya sekali sebulan, Hidupkan lampu depan dan belakang, lampu brek, signal kereta – periksa sama ada mentol lampu depan dan belakang di kedua-dua bahagian menyala dan tidak terbakar. Berjalan di sekeliling kereta anda atau minta bantuan rakan, pasangan atau anak untuk berdiri di belakang kereta anda semasa anda memeriksanya.

5. Minyak Hitam dan Penapis Minyak

Minyak hitam kereta berfungsi untuk membersihkan, menyejukkan, melicinkan pergerakan dan mengelakkan kerosakan pada bahagian enjin. Anda disarankan untuk menggantikan dan menukar minyak hitam kereta secara berkala supaya tidak menjejaskan prestasi dan ketahanan enjin. Ambil kira faktor-faktor lain seperti tahap kelikatan minyak pelincir, jenis minyak pelincir dan jenis enjin kereta dan sebagainya sebelum memilih minyak enjin yang sesuai untuk kereta anda. Kebiasaanya, minyak hitam dan penapis minyak ditukar setiap tiga bulan atau 3,000 batu bergantung pada jenis kereta, jenis minyak dan cara penggunaan.

6. Tekanan Tayar

Kebanyakan pemandu kurang memberikan perhatian terhadap tekanan angin tayar yang bersesuaian. Tekanan angin tayar yang tidak sesuai seperti terlalu rendah atau berlebihan (terlalu keras) boleh menjejaskan keselesaan sepanjang pemanduan. Malah, dalam kes-kes tertentu ia boleh menyebabkan kemalangan. Jika tekanan angin terlalu rendah, ia boleh menyebabkan kebocoran dan jika tekanan angin terlalu tinggi, ia boleh menyebabkan aquaplanning terutamanya semasa musim hujan. Tekanan angin dalam tayar bergantung pada jenis kereta dan jenis tayar yang digunakan – periksa maklumat tekanan tayar pada bahagian pintu depan sebelah tempat duduk pemandu.

Servis Kereta Jangka Panjang

Penyelenggaraan jangka panjang pula biasanya dilakukan setiap 30,000 atau setahun sekali bergantung pada prestasi dan keadaan kereta. Carsome menyenaraikan enam perkara berkaitan servis kereta jangka panjang yang boleh anda pertimbangkan:

pemeriksaan enjin kereta - servis kereta

1. Palam Pencucuh

Spark plug atau palam pencucuh sangat penting bagi sistem nyalaan enjin sesebuah kenderaan. Palam pencucuh merupakan peralatan elektrik yang dipasang pada silinder enjin petrol yang berfungsi membakar campuran udara dan bahan api melalui bunga api elektrik. Sekiranya palam pencucuh tidak berfungsi dengan baik, enjin akan kehilangan kuasa dan tidak dapat beroperasi pada kapasiti maksimum. Lakukan pemeriksaan profesional dan gantikan jika terdapat sebarang kerosakan pada palam pencucuh.

7 Tanda Spark Plug Kereta Rosak
        1. Kenderaan terasa berat semasa memecut;
        2. Enjin sukar dihidupkan terutamanya pada waktu pagi;
        3. Pembakaran enjin tidak sekata;
        4. Penggunaan bahan api yang berlebihan;
        5. Bunyi enjin lebih bising daripada biasa;
        6. Ada gegaran setelah enjin dihidupkan;
        7. Kuasa enjin tidak stabil.

2. Cecair Penyejuk

Coolant atau cecair penyejuk merupakan sejenis bendalir berasaskan air yang digunakan semasa pembakaran dalam enjin bertujuan untuk menyejukkan enjin dan mengelakkan situasi panas lampau (overheating). Cecair penyejuk akan dikitarkan ke blok enjin menerusi radiator dan berfungsi sepanjang pengoperasian enjin sekali gus memastikan enjin sentiasa berada pada suhu yang optimum. Kegagalan melakukan servis radiator dan menggantikan coolant mengikut jadual boleh menyebabkan masalah lain seperti overheat, kebocoran pada hos, radiator tersumbat akibat pengumpulan karat dan kerosakan-kerosakan lain yang boleh memakan belanja yang lebih besar. Rujuk manual pemilik untuk mengetahui kadar kekerapan penukaran cecair penyejuk yang disyorkan.

3. Minyak Gearbox

Setiap kereta mempunyai jangka hayat minyak gearbox yang berbeza bergantung pada jenis, spesifikasi kereta. Namun kebiasaannya, minyak gearbox ditukar pada setiap 20,000 km. Penukaran minyak gearbox mengikut masa dapat meningkatkan jangka hayat gearbox kereta anda. Sama seperti minyak enjin, minyak gearbox berfungsi sebagai pelincir yang membantu memastikan semua bahagian berfungsi dengan baik. Tidak kira sama ada kereta anda dilengkapi dengan transmisi automatik atau manual, anda disarankan untuk sentiasa memeriksa dan menggantikan minyak gearbox apabila perlu untuk mengelakkan kerosakan atau penggantian komponen ini yang akan menelan belanja yang lebih besar. Gunakan dipstick atau alat pengukur paras minyak gearbox untuk mengenal pasti keadaan minyak tersebut.

Fungsi Utama Minyak Gearbox
        1. Mengurangkan geseran dan getaran;
        2. Mengurangkan suhu di dalam gearbox semasa enjin beroperasi;
        3. Meningkatkan kelajuan pusingan (rotation speed);
        4. Melindungi permukaan logam daripada kakisan;
        5. Memastikan komponen enjin berada dalam keadaan bersih.

Minyak gearbox yang lambat ditukar boleh memberi kesan kepada sistem gearbox. Oleh itu, anda disarankan untuk sentiasa memastikan minyak gearbox berada pada paras yang sesuai. Ini kerana, ia secara tidak langsung membantu pergerakan dan penukaran gear yang teratur.

Cara Menukar Minyak Gearbox
        1. Buka penutup di bahagian bawah gear;
        2. Buang minyak gearbox yang lama;
        3. Tukar gasket gearbox dan penapis – jika perlu;
        4. Masukan minyak gearbox yang baharu – mengikut jenis dan CC kereta;
        5. Periksa kebocoran;
        6. Pandu uji.

4. Tali Sawat Serpentin

Serpentine belt atau tali sawat serpentin merupakan tali sawat yang mempunyai alur berbilang yang diletakkan pada takal alur berbilang untuk memacu pengulang-alik, stereng kuasa, dan pemampat penyaman udara (aircond compressor). Tali sawat serpentin anda mungkin mengalami masalah jika kereta berdetar seakan seperti bunyi gegaran apabila menghidupkan aircond kereta. Tali sawat serpentin yang sudah haus akan menyebabkan bunyi bising terutamanya semasa penyaman udara kereta dihidupkan.

5. Penyerap Hentakan

Shock absorber atau penyerap hentakan merupakan komponen penting dalam sistem suspensi kenderaan. Ia berfungsi mengawal hentakan, menyerap hentaman, mengawal pergerakan spring dan keseluruhan sistem suspensi ketika kenderaan melalui bonggol, jalan berlubang atau jalan yang tidak rata. Pastikan anda memeriksa komponen ini setiap 50,000 atau setelah anda menyedari ia tidak lagi berfungsi dengan baik dan lancar atau kenderaan anda hilang kawalan semasa pemanduan. Anda juga boleh rujuk tanda-tanda kerosakan absorber kereta dan tip-tip lain berkaitan shock absorber di sini.

6. Pad Brek

Pad brek yang berada dalam keadaan baik dapat menyelamatkan nyawa pemandu dan penumpang terutamanya dalam situasi kecemasan seperti perlanggaran dengan kenderaan lain atau terbabas. Keselamatan brek bukan sesuatu yang boleh dipandang remeh – penyelenggaraan yang rapi penting untuk memastikan ia sentiasa berada dalam keadaan selamat. Jangka hayat pad brek bergantung pada jarak dan cara pemanduan. Secara purata, pad brek mampu bertahan sehingga 80,000 km – ketahanan pad brek dipengaruhi oleh jenis pad brek digunakan, jarak perjalanan dan beban kenderaan.

Tanda Pad Brek Haus dan Perlu Ditukar
        1. Lampu amaran brek menyala;
        2. Cecair brek berada pada tahap minimum;
        3. Terdapat bunyi kuat semasa menekan brek;
        4. Keabnormalan berlaku setiap kali brek ditekan – stereng dan pedal brek bergegar;
        5. Jarak kenderaan berhenti bertambah.

Servis Kereta Jangka Sederhana

Penyelenggaraan jangka sederhana atau seasonal maintenance pula merujuk pada penyelenggaraan yang dilakukan bergantung pada keadaan dan musim. Untuk membantu anda memaksimumkan prestasi kereta anda, berikut merupakan 3 perkara yang boleh anda pertimbangkan:

pemeriksaan tayar kereta

1. Wiper Kereta

Wiper kereta atau pengelap cermin kereta merupakan komponen kereta yang penting terutamanya jika memandu dalam keadaan hujan. Namun begitu, getah wiper kereta mudah rosak terutamanya jika kereta anda diletakkan di kawasan terbuka yang terdedah kepada cahaya matahari. Anda disarankan untuk menggantikan getah wiper kereta setiap 6 hingga 12 bulan bergantung pada keadaan getah wiper kereta. Wiper kereta yang rosak tidak lagi dapat menolak air pada cermin dengan lebih efektif sekali gus mengehadkan jarak penglihatan semasa pemanduan dan boleh mendatangkan bahaya kepada anda.

2. Bateri Kereta

Bateri kereta merupakan komponen penting dalam sistem elektrik kenderaan dan berfungsi membekalkan arus elektrik untuk menghidupkan enjin. Selain itu, ia berfungsi menyimpan muatan elektrik untuk digunakan semasa enjin kereta tidak beroperasi. Bateri kereta perlu digantikan setiap dua tahun bergantung pada jenis bateri, penjagaan dan cara penggunaannya. Anda boleh merujuk tips penjagaan bateri kereta dan tips untuk memastikan bateri kereta tahan lebih lama di sini.

3. Tayar Kereta

Periksa tahap kehausan tayar dan gantikan tayar jika bunga tayar telah haus kerana ia boleh menyebabkan risiko kemalangan dan kehilangan nyawa. Kadar kehausan tayar kereta anda mungkin berbeza antara tayar hadapan, tayar belakang, tayar di bahagian kiri atau kanan kereta anda. Kekerapan penggunaan, penjajaran atau alignment atau faktor-faktor lain seperti keadaan jalan dan sebagainya boleh mempengaruhi kadar kehausan tayar. Anda disarankan untuk menukar kedudukan tayar (tayar hadapan ke belakang dan sebaliknya) kerana ia berkesan membantu dapat memanjangkan jangka hayat tayar, membantu menyeimbangkan kadar kehausan dan mengelakkan masalah getaran dan bunyi. Lakukan pemeriksaan profesional dan minta pendapat pakar jika tidak pasti.

tip servis kereta

Semoga tip asas servis kereta yang dikongsikan ini dapat membantu anda dan mengelakkan anda daripada tertipu. Selain itu, jika anda ingin menjual kereta lama anda, layari laman web Carsome untuk info lanjut. Carsome merupakan platform jual beli kereta terpakai dalam talian di Malaysia, menawarkan hampir 175 titik pemeriksaan dan kereta yang dijual mendapat perakuan Carsome Certified.

RELATED ARTICLES
- Advertisment -

Most Popular