HomeBMTinted Kereta: Cara Pilih Tinted Kereta Murah dan Terbaik untuk Kereta Anda

Tinted Kereta: Cara Pilih Tinted Kereta Murah dan Terbaik untuk Kereta Anda

Penggunaan cermin gelap atau tinted kereta bukan lagi dilihat sebagai aksesori tambahan untuk menaikkan nilai estetika sesebuah kereta semata-mata. Dengan suhu purata Malaysia sekitar 28˚C hingga 35˚C hampir sepanjang tahun, ia sedikit sebanyak mendorong pengguna kereta untuk memasang cermin gelap untuk keselesaan dan keselamatan sepanjang pemanduan. Secara amnya, terdapat pelbagai jenis tinted kereta yang dijual dipasaran hari ini dengan julat harga yang berbeza mengikut pilihan dan keperluan anda.

Tinted Kereta: Apa itu VLT Tinted, IR Tinted dan UV Tinted?

Bagi anda yang mungkin tidak biasa dengan perkara-perkara berkaitan tinted kereta ini, istilah-istilah seperti VLT, IR dan UV mungkin kedengaran janggal bagi anda. Oleh sebab itu, CARSOME menyenaraikan perkara-perkara berikut sebagai rujukan dan panduan anda:

1. Peratusan Ketelusan Cahaya atau Visible Light Transmission (VLT)

Peratusan Ketelusan Cahaya atau Visible Light Transmission (VLT) merujuk pada kadar peratusan cahaya yang dapat menembusi cermin kereta anda. Jika anda menggunakan tinted kereta dengan peratusan ketelusan cahaya sebanyak lima peratus, warna tinted kereta anda akan menjadi lebih gelap berbanding penggunaan tinted cermin kereta dengan tahap ketelusan cahaya sebanyak 80 peratus. Peratus tinted kereta ini menunjukkan amaun cahaya yang dibenarkan untuk melaluinya. Semakin rendah peratus tinted kereta (nilai VLT tinted), semakin gelap tingkap cermin kereta anda kerana semakin sedikit amaun cahaya yang dapat menembusinya.

2. Sinaran Inframerah atau Infrared (IR)

Sinaran inframerah atau Infrared (IR tinted) pula merujuk pada jumlah haba yang dapat menembusi cermin kereta anda. Secara amnya, tahap kepanasan atau haba di bahagian dalaman kereta apabila dibiarkan di bawah terik matahari bergantung sepenuhnya pada nilai IR tinted yang digunakan. Semakin tinggi nilai IR tinted, semakin kurang tahap kepanasan di bahagian dalam ruang kabin kenderaan. Namun begitu, nilai IR tinted yang tinggi biasanya akan mempengaruhi harga tinted kereta anda.

3. Sinaran Ultraungu atau Ultraviolet (UV)

Sinaran ultraungu atau ultraviolet (UV) merujuk pada bahagian spektrum gelombang elektromagnet yang dipancarkan oleh matahari. Sinar UV yang berlebihan boleh memberi kesan negatif terutamanya pada bahagian kulit atau mata anda. Sama seperti kandungan nilai SPF pada produk kecantikan wanita, nilai UV tinted kereta menunjukkan peratusan UV yang boleh menembusi cermin kereta anda.  Semakin tinggi peratusan UV tinted dicatatkan, semakin tinggi kualiti tinted kereta anda. Kebanyakan pengusaha pusat aksesori dan pusat tinted kereta menawarkan kadar peratus tinted (nilai UV tinted) sebanyak 99 peratus.

jenama tinted kereta terbaik

Faktor Yang Perlu Dipertimbangkan Sebelum Pilih Tinted Kereta

Cahaya matahari bukan sahaja menyebabkan silau dan menjadikan pemanduan tidak selesa, malah ia juga memancarkan sinaran ultraungu atau sinar UV yang boleh merosakkan kulit dan mata. Oleh sebab itu, penting untuk anda memilih brand tinted kereta terbaik dan sesuai untuk kereta anda. Berikut merupakan cara pilih jenama tinted kereta terbaik dan faktor-faktor lain yang boleh anda pertimbangkan sebelum memilih tinted kereta.

1. Perlindungan Asas

Pastikan anda memilih tinted kereta berkualiti yang mempunyai ciri perlindungan asas seperti perlindungan UV (tinted UV) dan penangkis haba. Kebanyakan pengeluar atau pengedar produk tinted cermin biasanya mengiklankan pelbagai retorik menarik untuk melariskan produk jualan mereka. Oleh sebab itu, anda disarankan untuk melakukan kajian lanjut di internet untuk mendapatkan kepastian. Secara amnya, terdapat pelbagai jenis tinted kereta dengan pelbagai ciri perlindungan asas dijual di pasaran. Harga tinted kereta biasanya antara RM100 hingga RM1000 atau mungkin lebih bergantung pada jenis tinted kereta, model atau saiz kereta.

2. Penggunaan Bahan Api

Selain itu, tinted kereta terbaik dan berkualiti dapat meminimumkan sinaran cahaya matahari daripada menembusi cermin kereta anda. Ia sekali gus dapat mengurangkan dan menjimatkan penggunaan bahan api untuk menyejukkan ruang kabin kereta anda. Tinted kereta bergred tinggi dapat menangkis haba daripada diserap masuk ke dalam ruang kabin kereta. Ia biasanya ditetapkan mengikut kadar Total Solar Energy Rejected (TSER). TSER secara amnya merujuk pada jumlah haba yang dapat dihalang oleh tinted cermin kereta. Semakin tinggi nilai TSER, semakin banyak jumlah haba dapat dihalang daripada memasuki ruang kabin.

3. Keselamatan

Sesetengah tinted cermin kereta yang dijual di pasaran dilengkapi dengan ciri keselamatan yang dapat menahan serpihan cermin kereta yang retak atau pecah daripada berderai apabila terkena seseuatu impak. Selain itu, penggunaan cermin gelap juga dikatakan dapat mengurangkan risiko jenayah dan meningkatkan masa yang diperlukan oleh penjenayah untuk memecah masuk kereta anda. Meskipun begitu, ia tidak bermaksud penggunaan tinted menyebabkan pengguna tidak terdedah langsung kepada risiko cermin pecah–ia masih boleh dipecahkan terutamanya jika mengambil kira akses semasa situasi kecemasan oleh pasukan keselamatan seperti kemalangan dan sebagainya.

4. Jaminan dan Waranti

Selain itu, tinted kereta bergred tinggi juga biasanya didatangkan dengan jaminan perlindungan dan waranti daripada pihak pengeluar. Ini bermaksud, anda boleh membuat tuntutan kerosakan sekiranya tinted cermin yang anda gunakan rosak dalam tempoh jaminan yang ditetapkan. Anda juga disarankan untuk membandingkan tempoh dan perlindungan waranti yang ditawarkan kerana setiap jenama tinted kereta menawarkan jaminan perlindungan yang berbeza. Kenal pasti produk tinted kereta yang berkualiti termasuk perkhidmatan selepas jualan (after sales service) yang baik.

promo jual kereta

Cara Pilih Tinted Kereta Terbaik dan Berkualiti

Faktor harga tinted bukanlah perkara pertama yang perlu diberi perhatian semasa memilih cermin gelap yang baik atau berkualiti. Pemilihan tinted kereta merupakan perkara yang subjektif kerana setiap individu mempunyai pilihan, bajet dan keperluan yang berbeza. Namun biasanya, cermin gelap yang dijual pada harga yang murah di pasaran biasanya berisiko untuk menggelembung dan pudar dengan lebih cepat. Berbeza dengan cermin yang dijual pada harga lebih premium di pasaran, ia biasanya menawarkan kualiti, jangka hayat, perlindungan dan jaminan keselamatan yang lebih baik. Anda masih boleh mempertimbangkan perkara berikut sebelum pilih tinted kereta yang terbaik untuk anda:

  • IR tinted Semakin tinggi kadar peratus IR, semakin kurang haba dalam kenderaan. Ia sekali gus menyebabkan suhu dalam kabin kenderaan semakin sejuk dan jimat penggunaan bahan api. Sekiranya anda mencari tinted kereta yang boleh menyejukkan suhu dalam kabin kenderaan dengan lebih baik, pilih tinted kereta dengan kadar peratus IR yang tinggi berbanding kadar VLT. Namun begitu, tinted kereta dengan IR yang tinggi biasanya dijual pada harga yang lebih mahal.
  • UV tinted Semakin tinggi kadar peratus UV, semakin sedikit kadar tembusan sinaran UV dalam kenderaan. Ia secara tidak langsung mengurangkan risiko pada kesihatan kulit (kanser kulit, penuaan) dan merendahkan suhu dalam kenderaan. Kebanyakan produk tinted cermin premium biasanya menawarkan perlindungan UV sehingga 99 peratus.
  • VLT tinted Semakin rendah kadar peratus VLT, semakin kurang sinaran cahaya matahari menembusi cermin kenderaan. Ini bermaksud, cermin kereta menjadi semakin gelap dan pemanduan menjadi lebih selesa kerana kurang silau. Namun begitu, anda disarankan untuk mempertimbangkan spec tinted JPJ 2021 dan tidak melebihi peratus tinted kereta yang dibenarkan untuk mengelakkan anda daripada disaman.

Jenis Tinted Kereta Terbaik di Malaysia

Tinted kereta berfungsi memberikan perlindungan tambahan daripada sinaran UV yang berbahaya. Ia juga boleh memberi lebih keselesaan semasa memandu lebih-lebih lagi jika mengambil kira cuaca pada waktu siang di Malaysia. Secara amnya, terdapat pelbagai jenis tinted JPJ 2021 yang dijual di pasaran:

1. Tinted Jenis Celup (Dyed Window Tint Film)

Tinted cermin jenis ini biasanya terdiri daripada beberapa lapisan filem yang dicelup yang bertindak menyerap cahaya matahari yang menembusi tingkap. Anda boleh menyesuaikan tahap kegelapan tinted kereta mengikut pilihan anda. Ia merupakan tinted cermin yang biasa digunakan kerana ia dikatakan lebih murah berbanding jenis-jenis tinted kereta yang lain. Namun begitu, tinted jenis ini mempunyai kemampuan menghalang sinaran matahari yang terhad dan cenderung untuk pudar dan perlu diganti selepas beberapa ketika.

2. Tinted Jenis Logam (Metalize Window Tint Film)

Tinted jenis ini mengandungi partikel logam mikro yang bertindak memantulkan cahaya matahari. Umumnya, tinted cermin jenis ini juga dikatakan lebih efektif berbanding penggunaan tinted kereta jenis celup. Selain itu, ia juga tahan calar dan berupaya memberi perlindungan tambahan pada cermin kereta anda–kurang risiko cermin berderai sekiranya berlaku kemalangan atau impak besar yang lain. Namun begitu, penggunaan tinted cermin jenis ini boleh mengganggu isyarat radio atau GPS.

3. Tinted Jenis Hibrid (Hybrid Window Tint Film)

Ia merupakan gabungan antara tinted cermin jenis celup dan logam–terdiri daripada beberapa lapisan filem yang dicelup, diselang-seli dengan lapisan logam nipis (biasanya titanium). Tinted kereta jenis hibrid merupakan versi tinted cermin jenis celup dan logam yang ditambah baik. Ia mempunyai impak gangguan radio yang lebih sedikit berbanding tinted kereta logam. Namun begitu, harga tinted kereta jenis hibrid ini lebih mahal berbanding tinted cermin jenis celup dan lebih murah jika dibandingkan dengan tinted cermin jenis logam.

4. Tinted Jenis Karbon (Carbon Window Tint Film)

Tinted cermin jenis karbon tidak mudah pudar berbanding kebanyakan tinted kereta yang lain. Ini kerana, ia diperbuat daripada zarah fiber karbon dan dikatakan lebih efektif menghalang cahaya matahari berbanding tinted cermin jenis celup atau logam. Ia mempunyai kemasan matte jika dilihat dari luar–sekali gus menyebabkan ramai pengguna memilih tinted jenis ini untuk tampil lebih estetik. Ia juga mempunyai ciri penebat yang sangat baik dan dikatakan mampu mengurangkan haba dari matahari dan menaikkan suhu dalaman kenderaan sekitar 40 peratus.

Oleh sebab itu, harga tinted kereta jenis karbon dijual pada harga yang lebih tinggi dalam pasaran. Meskipun lebih mahal, ia semestinya berbaloi dengan jangka hayat dan kualiti yang ditawarkan.

5. Tinted Jenis Seramik (Seramic Window Tint Film)

Tinted cermin jenis ini berupaya menghalang hampir 99 peratus sinaran UV. Selain itu, ia juga dikatakan lebih tahan lama berbanding tinted cermin jenis celup atau logam, tidak mudah pudar dan tidak mengganggu isyarat radio. Tinted cermin kereta jenis seramik dikatakan lebih efektif dalam menghalang haba dan cahaya daripada matahari sekali gus berupaya mengurangkan hampir separuh suhu dalaman kereta.

Sama seperti tinted cermin jenis logam, tinted cermin jenis seramik ini juga berupaya meningkatkan ketahanan cermin. Ia menjadikan cermin kereta lebih tahan lasak dan tidak berderai sekiranya pecah. Selain itu, ia juga berupaya mengurangkan tahap silau tanpa perlu meningkatkan peratus tinted kereta. Tinted jenis seramik ini biasanya dijual pada harga yang lebih premium dalam pasaran.

Peratus Tinted Kereta JPJ 2021: Peraturan Cermin Gelap untuk Kereta di Malaysia

Pengguna jalan raya di Malaysia tertakluk pada peraturan kenderaan dan undang-undang jalan raya yang ditetapkan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ). Peraturan ini termasuk peratusan kadar ketelusan cahaya kenderaan motor. Berikut merupakan peraturan cermin gelap 2021 bagi cermin kenderaan motor bermula Mei 2019 untuk panduan dan rujukan anda:

spec tinted kereta jpj | peraturan cermin gelap 2021

Pindaan baharu ini membolehkan cermin gelap di bahagian tempat duduk penumpang belakang dan cermin utama belakang kenderaan tanpa penetapan kadar peratusan VLT dengan syarat kenderaan tersebut dilengkapi dengan cermin sisi pandang belakang di kedua-dua bahagian. Kadar peratusan VLT untuk cermin utama hadapan dan cermin sisi tempat duduk pemandu dan penumpang hadapan pula ditetapkan sama seperti peratusan sedia ada VLT 70% untuk cermin utama hadapan, VLT 50% untuk cermin sisi tempat duduk pemandu dan penumpang hadapan.

Namun begitu, peraturan baharu ini tidak terpakai untuk kenderaan motor yang didaftarkan sebagai kenderaan awam dan kenderaan perdagangan. Kenderaan ini hanya dibenarkan untuk memiliki kadar ketelusan cahaya tidak kurang dari 70%.

Permohonan Kelulusan Penggunaan Cermin Gelap

Pemasangan cermin gelap dibenarkan kepada individu tertentu di bawah subkaedah 11(1)(a) dan 11(1)(b), Kaedah-Kaedah Kenderaan Motor (Penggunaan Kaca atau Bahan Lutsinar Lain)(Pindaan) 2019. Pengguna yang ingin menggunakan cermin gelap untuk kenderaan mereka atas faktor keselamatan atau kesihatan boleh memohon kelulusan penggunaan cermin gelap daripada pihak Jabatan Pengangkutan Jalan.

Prosedur Permohonan Pengecualian Peraturan Cermin Gelap 2021

Sekiranya anda ingin memohon pengecualian peraturan cermin gelap 2021, anda boleh layari laman web rasmi Jabatan Pengangkutan Jalan untuk mendapatkan maklumat lanjut dan terperinci mengenai proses permohonan penggunaan cermin gelap kenderaan anda.

  1. Pemohon hendaklah mengemukakan Permohonan kepada Urusetia Bahagian Penguatkuasa JPJ & Cawangan.
  2. Pemohon perlu mengisi Borang CG1 dengan lengkap. Borang ini perlu dilampirkan bersama-sama;
      • salinan kad pengenalan;
      • salinan kad perakuan pendaftaran kenderaan (geran).
  3. Permohonan hendaklah dibuat secara berasingan bagi setiap kenderaan dan ditandatangani oleh pemohon.
  4. Setiap permohonan yang dibuat (keselamatan atau kesihatan) mestilah dikemukakan bersama-sama dengan dokumen sokongan untuk pertimbangan;

Bagi anda yang ingin memohon pengecualian peraturan cermin gelap 2021, anda boleh merujuk panduan dan prosedur permohonan mengikut kategori seperti berikut:

    • Permohonan berasaskan kesihatan Kenderaan milikan persendirian individu/persendirian syarikat
        1. Pemohon dan pemilik kenderaan mestilah tidak mempunyai apa-apa kes tertunggak dengan JPJ dan PDRM berhubung dengan apa-apa pelanggaran Akta APJ, ALPKP dan APAD;
        2. Laporan Perubatan asal oleh Pakar Perubatan dari Hospital Kerajaan atau Pakar Perubatan Hospital Swasta yang diiktiraf oleh Kementerian Kesihatan Malaysia dengan menyatakan jenis atau nama penyakit secara spesifik;
        3. Permohonan penggunaan cermin gelap hanya dibenarkan untuk kenderaan yang didaftarkan atas nama pesakit sahaja. Anda perlu mengemukakan surat hubungan (sijil lahir/sijil perkahwinan dan dokumen lain yang berkaitan) dengan pemilik kenderaan jika kenderaan bukan hak milik pemohon;
        4. Fi Permohonan dan Fi Kelulusan tidak dikenakan ke atas permohonan kesihatan.
    • Permohonan berasaskan keselamatan Kenderaan milikan persendirian individu/persendirian syarikat
        1. Pemohon dan pemilik kenderaan mestilah tidak mempunyai apa-apa kes tertunggak dengan JPJ dan PDRM berhubung dengan apa-apa pelanggaran Akta APJ, ALPKP dan APAD;
        2. Mengemukakan Borang Pendaftaran Syarikat (Borang 24) dan Borang 49 atau Form 49 (bagi Syarikat) yang disahkan oleh Setiausaha Syarikat yang berdaftar;
        3. Permohonan penggunaan cermin gelap hanya dibenarkan untuk kenderaan yang didaftarkan atas nama pesakit sahaja. Anda perlu mengemukakan surat hubungan (sijil lahir/sijil perkahwinan dan dokumen lain yang berkaitan) dengan pemilik kenderaan jika kenderaan bukan hak milik pemohon;
        4. Fi Permohonan sebanyak RM 50.00 akan dikenakan bagi setiap permohonan. Bayaran fi ini tidak akan dikembalikan sekiranya pemohon membuat pembatalan permohonan @ tidak menepati syarat-syarat yang ditetapkan;
        5. Fi Perakuan Kelulusan dikenakan sebanyak RM 5,000.00 dan pembayaran dibuat setelah mendapat surat makluman keputusan permohonan kelulusan penggunaan cermin gelap daripada Bahagian Penguatkuasa Ibu Pejabat (tidak akan dikembalikan sekiranya pemohon membuat pembatalan permohonan @ tidak menepati syarat-syarat yang ditetapkan).
    • Permohonan berasaskan keselamatan Kenderaan milikan Kerajaan/sewaan Kerajaan
        1. Mestilah mengemukakan surat permohonan daripada Ketua Setiausaha Kementerian/Ketua Pengarah Jabatan;
        2. Fi Permohonan sebanyak RM 50.00 akan dikenakan bagi setiap permohonan. Bayaran fi ini tidak akan dikembalikan sekiranya pemohon membuat pembatalan permohonan @ tidak menepati syarat-syarat yang ditetapkan;
        3. Fi Perakuan tidak dikenakan ke atas permohonan kenderaan milikan kerajaan/sewaan kerajaan.

jenis tinted kereta | peraturan cermin gelap 2021

Bayaran Fi Permohonan Pengecualian Peraturan Cermin Gelap 2021

Tempoh kelulusan bagi permohonan pengecualian cermin gelap JPJ ini hanya sah untuk tempoh dua (2) tahun sahaja. Kelulusan yang telah tamat tempoh perlu membuat permohonan baharu dalam tempoh dua (2) bulan sebelum tempoh kelulusan tamat dan pemohon akan dikenakan jumlah fi yang sama.

  1.  Bayaran Fi Permohonan (RM 50.00) boleh dibuat di JPJ Negeri & Cawangan.
  2. Jawatankuasa Khas akan meneliti dan menyemak setiap permohonan yang diterima sebelum diserahkan kepada YB Menteri untuk kelulusan.
  3. Permohonan yang telah mendapat keluluskan akan diberikan satu surat makluman pembayaran Fi Perakuan (RM 5,000.00) daripada Urusetia Bahagian Penguatkuasa Ibu Pejabat JPJ. Setelah pembayaran dibuat, satu perakuan kelulusan cermin gelap akan diserahkan kepada pemohon secara pos berdaftar atau persendirian.
  4. Permohonan yang tidak diluluskan akan diberikan satu Surat Penolakan yang akan diserahkan kepada pemohon secara pos berdaftar.

Semoga perkongsian ini dapat membantu anda untuk memilih tinted kereta terbaik dan sesuai dengan keperluan anda. Dalam masa yang sama, pastikan anda juga mematuhi peraturan tinted kereta JPJ 2021 untuk mengelakkan anda dikenakan kompaun atau saman kerana tidak mematuhi undang-undang. Selain itu, jika anda sedang mempertimbangkan untuk membeli kereta terpakai atau ingin menjual kereta terpakai anda, layari laman web CARSOME untuk info lanjut. CARSOME merupakan platform jual beli kereta terpakai terbaik dengan tawaran harga yang lebih tinggi berbanding harga pasaran semasa. Confirm berbaloi!

Haziq Asyraf
Haziq Asyraf
A self-proclaimed foodie and gamer whose passion for food and games has recently extended to cars.
RELATED ARTICLES
- Advertisment -

Most Popular