HomeBMPerkara Yang Anda Perlu Tahu Mengenai Pemeriksaan PUSPAKOM

Perkara Yang Anda Perlu Tahu Mengenai Pemeriksaan PUSPAKOM

Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (PUSPAKOM) ialah syarikat pemeriksaan kenderaan yang ditubuhkan pada tahun 1994 di bawah DRB-HICOM. Penubuhannya bertujuan untuk menjalankan proses pemeriksaan kenderaan bagi pihak kerajaan terutamanya melibatkan proses jual beli kenderaan, ubah suai, penggunaan komersial dan persendirian. CARSOME menyenaraikan langkah-langkah pemeriksaan PUSPAKOM, jenis pemeriksaan yang ditawarkan, senarai dokumen diperlukan dan soalan-soalan lazim berkaitan sebagai panduan anda.

puspakom vehicle inspection
Kredit: PUSPAKOM

Langkah-langkah Pemeriksaan di PUSPAKOM

Berikut merupakan langkah-langkah yang boleh anda ikuti sekiranya anda ingin melakukan pemeriksaan kenderaan anda di mana-mana cawangan PUSPAKOM di seluruh Malaysia:

#1 Kenal Pasti Jenis Pemeriksaan

CARSOME menyenaraikan jenis pemeriksaan yang dijalankan di PUSPAKOM untuk anda yang mungkin keliru dengan senarai perkhidmatan yang disediakan. Ia juga sebagai panduan anda jika anda ingin memilih pemeriksaan yang sesuai dengan keperluan anda.

i. Pemeriksaan Berkala PUSPAKOM

Akta Pengangkutan Jalan 1987 mewajibkan semua kenderaan perdagangan menjalani Pemeriksaan Berkala di PUSPAKOM setiap 6 bulan. Pemeriksaan ini dapat membantu mengurangkan risiko kemalangan jalan raya sekali gus dapat menyelamatkan nyawa pemandu, penumpang dan pengguna jalan raya yang lain. Untuk pemandu Grab misalnya, terdapat tiga jenis pemeriksaan yang perlu dilakukan iaitu Pemeriksaan Berkala Pertama E-hailing (bertujuan untuk pendaftaran di JPJ), Pemeriksaan Berkala E-hailing (sekali setiap 12 bulan) dan Pemeriksaan Berkala Semula E-hailing (jika gagal Pemeriksaan Berkala).

Anda juga boleh merujuk panduan pendaftaran MyPUSPAKOM untuk kenderaan e-hailing di sini. Bayaran yang dikenakan adalah antara RM50 hingga RM75 bergantung pada jenis kenderaan.

ii. Pemeriksaan Tukar Milik PUSPAKOM

Akta Pengangkutan Jalan 1987 turut menggariskan semua kenderaan pensendirian untuk menjalani Pemeriksaan Tukar Milik di PUSPAKOM sebelum menjalani pemindahan pemilikan. Pemeriksaan ini membantu melindungi pemilik kenderaan baharu daripada membeli atau memiliki kenderaan yang menyalahi peraturan seperti kenderaan potong-sambung. Bayaran sebanyak RM30 dikenakan untuk pemeriksaan ini.

iii. Pemeriksaan Sewa Beli PUSPAKOM

Mana-mana individu atau organisasi yang memohon pinjaman untuk membeli kenderaan terpakai perlu menghantar kenderaan yang ingin dibeli menjalani Pemeriksaan Sewa Beli di PUSPAKOM. Ia termaktub di bawah Akta Sewa Beli 1967 yang bertujuan untuk melindungi pembeli kenderaan terpakai daripada membeli mana-mana kenderaan yang tidak sah dan tidak boleh digunakan. Bayaran sebanyak RM60 dikenakan untuk pemeriksaan ini.

iv. Pemeriksaan Awalan PUSPAKOM

Kenderaan komersial sama ada baharu atau terpakai yang masih belum melakukan pertukaran hak milik dikehendaki menjalani Pemeriksaan Awalan sebelum mendaftar di Jabatan Pengangkutan Jalan. Ia bertujuan untuk memastikan kenderaan ini mematahi standard piawaian pembinaan dan kegunaannya. Bayaran yang dikenakan adalah antara RM40 hingga RM90 bergantung pada jenis kenderaan.

v. Pemeriksaan Kenderaan Secara Sukarela PUSPAKOM

Pemeriksaan ini dapat membantu anda memahami keadaan kenderaan supaya anda dapat menyediakan keperluan penyelenggaraan yang bersesuaian. Ia secara tidak langsung memastikan kenderaan anda selamat dan layak berada di atas jalan raya. Ia juga membolehkan anda mengesan sebarang potensi kerosakan yang ada pada kenderaan anda. Pengesanan kerosakan awal diikuti dengan pembaikan dan penyelenggaraan yang sewajarnya dapat meningkatkan kualiti dan keselamatan pemanduan anda semasa di jalan raya. Bayaran sebanyak RM50 akan dikenakan untuk pemeriksaan ini.

vi. Pemeriksaan Khas PUSPAKOM

Pemeriksaan khas adalah wajib untuk kenderaan-kenderaan berikut dengan bayaran antara RM20 hingga RM50 bergantung pada jenis kenderaan:

      1. Kenderaan persendirian dengan cukai jalan yang telah tamat tempoh lebih daripada tiga tahun;
      2. Kenderaan komersial atau persendirian dengan spesifikasi enjin, casis atau badan kenderaan yang berubah;
      3. Penukaran nombor plat kereta;
      4. Kenderaan import baharu atau terpakai untuk didaftarkan dengan Jabatan Pengangkutan Jalan;
      5. Jenis keperluan lain yang diminta oleh Jabatan Pengangkutan Jalan.

vii. Perkhidmatan Pengesahan Pelan Kenderaan PUSPAKOM

Proses pengubahsuaian dan pembinaan badan sesebuah kenderaan memerlukan pelan teknikal yang diluluskan oleh pihak JPJ sebelum proses pengubahsuaian atau pembinaan badan kenderaan boleh dilakukan. Ia bertujuan untuk memastikan setiap badan kenderaan yang dibina dan diubah suai mematuhi kehendak perundangan semasa. Pelan teknikal ini perlu dikemukakan oleh syarikat perunding berdaftar dengan pihak JPJ kepada pihak PUSPAKOM bagi tujuan semakan sebelum disahkan oleh PUSPAKOM dan dikemukakan kepada pihak JPJ untuk kelulusan.

#2 Sediakan Dokumen yang Diperlukan

Bergantung kepada jenis kenderaan, pelbagai jenis dokumen mungkin diperlukan semasa pemeriksaan di PUSPAKOM. Anda juga boleh menghubungi talian umum PUSPAKOM dan talian khidmat pelanggan (+603 5101 7000) sekiranya anda memerlukan maklumat atau bantuan lanjut. Namun begitu, anda juga boleh merujuk senarai dokumen-dokumen biasa yang diperlukan semasa pemeriksaan di sini:

    1. Pemeriksaan oleh Pemilik Kenderaan: Kad Pengenalan, Kad Pendaftaran Kenderaan (Asal)/Sijil Pemilikan Kenderaan (VOC).
    2. Pemeriksaan oleh Wakil Pemilik Kenderaan: Kad Pengenalan Wakil, Kad Pendaftaran Kenderaan (Asal)/Sijil Pemilikan Kenderaan (VOC), Surat Wakil.

#3 Tetapkan Tarikh dan Masa Janji Temu

Anda boleh menetapkan tarikh dan masa janji temu mengikut kaedah pilihan anda. Anda boleh mendaftarkan akaun MyPUSPAKOM di laman web PUSPAPOM atau anda juga boleh memuat turun aplikasi mudah alih MyPUSPAKOM di Google Play Store pada telefon pintar anda. Namun begitu, aplikasi ini hanya disokong pada peranti Android sahaja buat masa ini. Anda boleh memasukkan segala maklumat kenderaan serta maklumat janji temu pemeriksaan di laman web dan aplikasi yang telah dimuat turun berkenaan. Pembayaran juga boleh dilakukan secara dalam talian.

#4 Hadir untuk Pemeriksaan

Setelah menetapkan tarikh dan masa janji temu, anda hanya perlu hadir dengan membawa dokumen pengesahan janji temu atau kod QR untuk pengesahan. Kod ini boleh diimbas di pintu masuk PUSPAKOM berhampiran pintu pagar. Jika anda telah menetapkan janji temu, tiada bayaran tambahan perlu dibuat semasa proses pendaftaran. Namun begitu, jika anda tidak membuat sebarang janji temu, anda boleh hadir terus ke pusat pemeriksaan PUSPAKOM dan mengisi borang pemeriksaan. Bayaran boleh dibuat sebelum pemeriksaan dijalankan.

#5 Terima Keputusaan Pemeriksaan

Setelah pemeriksaan, anda akan dipanggil oleh Pegawai PUSPAKOM untuk memaklumkan keputusan pemeriksaan kenderaan anda. Jika gagal, anda akan menerima laporan pemeriksaan dan pegawai akan memaklumkan punca-punca kegagalan. Anda juga perlu hadir semula dalam tempoh sebulan untuk melakukan pemeriksaan semula di PUSPAKOM yang sama. Jika anda gagal hadir dalam tempoh masa yang ditetapkan, anda perlu menjalani pemeriksaan kenderaan seperti pemeriksaan kali pertama. Sekiranya anda gagal lebih daripada 3 kali, anda diwajibkan untuk bertemu dengan Pegawai PUSPAKOM untuk perbincangan lanjut. Manakala, jika lulus, anda akan mendapat dokumen perakuan kelulusan daripada PUSPAKOM.

Aliran Proses Pemeriksaan PUSPAKOM

peringkat pemeriksaan kenderaan
Kredit: PUSPAKOM

Perkhidmatan Bergerak PUSPAKOM

Selain itu, jika anda tidak berkesempatan untuk mengunjungi mana-mana cawangan PUSPAKOM, anda juga boleh menjalankan pemeriksaan di mana-mana lokasi pilihan anda melalui 3 jenis perkhidmatan bergerak – Unit Bergerak Trak, Unit Bergerak Trak Ringan dan Unit Bergerak Van. Selain mudah dan menjimatkan, ia juga mampu meningkatkan produktiviti dan mengurangkan kos operasi anda.

unit bergerak puspakom
Kredit: PUSPAKOM

Bergantung pada jenis pemeriksaan dan kenderaan, caj perkhidmatan bermula serendah RM60 setiap kenderaan. Selain itu, anda juga akan dikenakan fi pemeriksaan individu. Namun begitu, pemeriksaan bergerak ini hanya ditawarkan di Semenanjung Malaysia sahaja buat masa ini.

Standard Pemeriksaan

Di PUSPAKOM, pemeriksa kenderaan terlatih akan memeriksa bahagian kenderaan anda seperti berikut:

  • Identiti – Pengesahan keaslian kenderaan dengan mengenal pasti nombor pendaftaran, casis dan enjin;
  • Bahagian Atas Kenderaan – Pemeriksaan keadaan di bahagian atas badan kenderaan;
  • Cermin Gelap – Penilaian kadar ketelusan cahaya cermin kenderaan;
  • Pelepasan Asap – Penilaian tahap pelepasan asap atau gas yang dikeluarkan daripada enjin kenderaan untuk memastikan ia tidak melebihi tahap yang dibenarkan;
  • Gelincir Sisi – Pengujian penjajaran tayar dan keberkesanan pengendalian semasa penjajaran sisi;
  • Lampu Puncak – Penilaian keadaan pancaran cahaya kenderaan;
  • Suspensi – Pengujian prestasi sistem suspensi kenderaan;
  • Brek – Pemeriksaan prestasi brek termasuk kecekapan dan ketidakseimbangan brek;
  • Meter Laju – Pemeriksaan ketepatan meter kelajuan berbanding kelajuan pada roda;
  • Bahagian Bawah Kenderaan – Pemeriksaan keadaan bawah kenderaan.

promo jual keretaSenarai Penuh Lokasi Pemeriksaan

Anda boleh klik di sini untuk melihat senarai penuh lokasi pemeriksaan PUSPAKOM di seluruh Malaysia.

Soalan-soalan Lazim

Kami turut menyediakan soalan-soalan lazim berkaitan pemeriksaan PUSPAKOM (FAQ) bagi menjawab persoalan lazim yang biasa diajukan oleh para pelanggan kami.

  • Berapakah bayaran yang perlu dibayar untuk pemeriksaan kenderaan di PUSPAKOM?

Bayaran yang dikenakan adalah berbeza mengikut jenis kenderaan dan pemeriksaan. Kebiasaannya, harga yang dipaparkan di laman web PUSPAKOM adalah harga pemeriksaan tidak termasuk cukai perkhidmatan. Anda boleh mendapatkan senarai penuh bayaran pemeriksaan di laman web PUSPAKOM.

bayaran bergantung pada jenis kenderaan
Kredit: PUSPAKOM
  • Bolehkah saya terus datang ke PUSPAKOM untuk membuat pemeriksaan tanpa membuat janji temu terlebih dahulu?

Boleh, sistem janji temu dalam talian MyPUSPAKOM merupakan alternatif bagi anda sebelum anda hadir menjalani pemeriksaan di pusat pemeriksaan PUSPAKOM. Anda boleh datang terus ke PUSPAKOM untuk membuat pemeriksaan tanpa membuat sebarang janji temu (walk-in).

  • Apakah bahagian kenderaan yang diperiksa di PUSPAKOM?
bahagian pemeriksaan di puspakom
Kredit: PUSPAKOM
  • Benarkah pemeriksaan tukar milik kenderaan di PUSPAKOM sedikit leceh?

Tidak benar sama sekali. Pemeriksaan berkaitan penukaran hak milik kenderaan hanya melibatkan empat ujian utama iaitu mengenal pasti identiti kereta, memeriksa bahagian atas dan bawah (jika ada isu-isu teknikal seperti potong-sambung atau perubahan casis) dan penggunaan cermin gelap.

  • Apakah waktu operasi PUSPAKOM? Adakah terdapat perubahan semasa Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat ini?

Pusat Pemeriksaan PUSPAKOM beroperasi setiap Isnin–Jumaat dan Ahad–Khamis dari jam 8 pagi hingga 5.30 petang. Anda juga boleh merujuk senarai lanjutan waktu operasi untuk cawangan-cawangan tertentu di sini.  Selain itu, untuk sebarang kemas kini terkini, anda juga boleh ikuti laman sosial Facebook PUSPAKOM dan laman web rasmi untuk mendapatkan senarai jadual perkhidmatan unit bergerak.

  • Berapa lama masa yang diambil untuk pemeriksaan di PUSPAKOM?

Proses pemeriksaan biasanya memakan masa sehingga satu jam. Setelah selesai, pihak PUSPAKOM akan mengeluarkan laporan pemeriksaan kenderaan dan laporan ini sah digunakan dalam tempoh 60 hari. Jika tamat tempoh ini, kenderaan perlu diperiksa semula untuk mendapatkan laporan baharu.

  • Apa itu Laporan B5 atau B5 Report?

Akta Pengangkutan Jalan 1987 memerlukan semua kenderaan persendirian menjalani Pemeriksaan Tukar Milik di PUSPAKOM sebelum pemindahan hak milik. Pemeriksaan ini membantu melindungi pemilik kenderaan baharu daripada membeli atau memiliki kenderaan yang tidak sah seperti kenderaan potong-sambung. Jabatan Pengangkutan Jalan Malaysia (JPJ) memerlukan laporan B5 untuk pemindahan hak milik.

B5 Report/Laporan B5 untuk pemindahan hak milik
Kredit: Puspakom
  • Sekiranya saya ingin menjual kereta yang saya gunakan untuk tujuan e-hailing, apa yang perlu saya lakukan?

Anda perlu melakukan pembatalan EVP (e-hailing vehicle permit) sebelum anda boleh menjual kereta tersebut. Kemudian, anda boleh melakukan pemeriksaan B2 dan B5 di PUSPAKOM untuk menukar status kereta anda daripada status persendirian–e-hailing kepada persendirian–individu. Setelah selesai, anda bolehlah ke kaunter JPJ untuk melengkapkan proses pertukaran status kereta.

Proses pemeriksaan di PUSPAKOM atau penukaran hak milik kereta di Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) biasanya memakan masa dan memenatkan. Namun begitu, anda boleh mempertimbangkan CARSOME sekiranya anda ingin menjual kereta lama anda. Ini kerana, CARSOME akan menguruskan segala proses dan dokumen berkaitan dengan syarat anda seorang warganegara Malaysia dan tiada pengubahsuaian atau modification drastik dilakukan terhadap kereta anda. Sekiranya ada, anda digalakkan untuk melakukan pemeriksaan lanjut di PUSPAKOM sebelum meneruskan transaksi jual beli. Layari laman web CARSOME untuk info lanjut.

Haziq Asyraf
Haziq Asyraf
A self-proclaimed foodie and gamer whose passion for food and games has recently extended to cars.
RELATED ARTICLES
- Advertisment -

Most Popular